t>

Breaking News

Kementerian Kaji Kemungkinan #Covid19 Boleh Hidup Dalam Sistem Pembentungan.

KEMENTERIAN Alam Sekitar akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai risiko Covid-19 bagi mengenal pasti sama ada virus itu boleh merebak melalui sistem pembentungan.
 


Menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan hari ini, berkata kementeriannya dijangka bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Delft (TU Delft), Belanda pada minggu hadapan untuk tujuan itu.

Kajian itu perlu dilakukan segera kerana terdapat laporan saintifik terkini oleh Institut Nasional Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (RVIM) di Belanda yang menunjukkan bahan genetik virus coronavirus yang menyebabkan Covid-19 ditemui dalam sistem kumbahan di Belanda.

Menurut laporan itu, ini berlaku apabila najis pesakit yang dijangkiti Covid-19 disalurkan ke dalam sistem pembetungan awam.

“Kementerian peka dengan perkembangan saintifik terhadap penularan pandemik Covid-19, maka kementerian menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan syarikat pembetungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) akan mengendalikan kajian terperinci untuk memastikan sama ada bahan genetik virus Covid-19 boleh hidup dan membiak dalam sistem pembetungan awam.

“Kajian ini juga untuk memastikan sama ada sampel kumbahan dalam sistem pembetungan boleh dijadikan indikator adanya pesakit Covid-19 di sesebuah kawasan,”
katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan UTM dan TU Delft itu adalah untuk menentukan tahap risiko kesihatan bukan sahaja kepada warga kerja dalam industri pembetungan dan bekalan air, tetapi juga mereka yang terlibat dengan pengurusan sumber air serta pengguna air keseluruhannya.

“Sistem pembetungan adalah perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Oleh demikian, menjadi tanggungjawab kementerian untuk memastikan risiko kesihatan sentiasa dapat diminimumkan dalam kalangan warga kerja industri pembentungan, bekalan air dan sumber air,”
katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang tentang keselamatan kualiti pembekalan air minum kerana menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), proses penurasan dan pembasmian kuman atau virus dijalankan di loji rawatan air memadai untuk membunuh Covid-19 melalui proses pengklorinan yang digunakan untuk pembasmian kuman atau virus. (Bernama)