t>

Breaking News

NGOs Rayu Kerajaan, Mohon Dibenarkan Edar Bantuan Kepada Rakyat Terjejas.

BERITA | LEBIH 120 organisasi masyarakat sivil menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula keputusan tidak membenarkan mereka memberi makanan kepada mangsa memerlukan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
 


Kumpulan itu berkata dalam satu kenyataan bersama, mereka memahami keadaan serius Covid-19 tetapi pada masa sama menjelaskan bagaimana PKP boleh memberi kesan kepada golongan mudah terjejas dan kesulitan dihadapi mereka untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan.

“Komuniti ini termasuk B40, golongan bandar dan luar bandar yang miskin, rakyat Malaysia yang kehilangan pendapatan akibat PKP, orang tua, orang sakit, anak yatim, Orang Asli, pekerja asing, masyarakat pelarian, dan banyak lagi,” tulis kenyataan itu.

“Sukar membayangkan kerajaan mempunyai senarai lengkap semua komuniti mudah terjejas ini yang memerlukan bantuan, dan mampu mengambil alih untuk menangani semua komuniti ini dengan segera.”
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam berkata kumpulan masyarakat sivil dan sukarelawan tidak dibenarkan mengagih makanan secara terus kepada golongan memerlukan bagi memastikan mereka mengehadkan kontak semasa PKP, yang laksanakan untuk menghentikan penyebaran virus Covid-19.

Beliau berkata, kumpulan ini hanya dibenarkan menghantar makanan ke pejabat Jabatan Kebajikan terdekat di setiap daerah bagi pegawai barisan hadapan sampaikan kepada penerima.

Ismail berkata makanan itu akan diedarkan oleh pegawai Rela atau anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac dan akan berlangsung sehingga 14 April untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Sehingga semalam, kes Covid-19 meningkat kepada 2,320 dengan 27 kematian. - 29 Mac 2020 (The Malaysian Insight).