t>

Breaking News

Pendakwah Ebit Lew Diberikan Kebenaran Untuk Memberikan Sumbangan Dalam Tempoh PKP - PDRM.

SEMASA | Semalam gempar di sosial media apabila Ustaz Ebit Lew dengan nada sedih meluahkan kekecewaannya kerana menjadi mangsa oleh pihak-pihak yang tidak senang dengan kerja dakwahnya.

Tanpa tujukan kepada sesiapa, Ustaz Ebit Lew sekadar berkata beliau meminta maaf dan akan berhenti menghulurkan bantuan di musim PKP ini melainkan bantuan kewangan semata-mata (bank in). Kenyataan dikeluarkan selepas Ustaz dipanggil ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan.

Baca;

"Menangis dari tadi. Cuma nak menangis pada Allah. Entahlah. Tersandar rasa. Rasa penat sangat. Walau saya ada kebenaran untuk memberi bantuan. Dari tengah malam semalam saya dihubungi untuk ke Cawangan Khas Bukit Aman. Terus ke sana hari ini untuk mendapatkan dan memberi penjelasan terutama kes viral beberapa hari lalu kerana ada aduan. Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat membantu semua yang dalam kesusahan. Mereka semua baik-baik melayan saya dengan sangat baik. Terima kasih sangat.

Cuma sayalah terasa sedih sangat. Andai saya menyusahkan sesiapa saya minta maaf. Saya memang tak boleh tengok orang tidur atas najis atau tepi jalan. Lebih seratus orang dah saya bayar penginapan dan tempat tinggal. Cuma beberapa kes tu saya kongsikan dengan kawan di media fb saya. Saya pun tak niat nak viral apa ke.Ramai anak-anak susah terbiar tahfiz saya bayarkan yuran mereka. Perniagaan saya sebenarnya sangat baik. Syukur pada Allah. Rezeki melimpah ruah. Saya belanja duit saya sendiri dari dulu lagi untuk bantu orang dimana-mana. Masa pkp ini dah berjuta habis. Duit simpanan saya sendiri dah sejuta ringgit saya belanjakan. Sekarang ramai juga mula bersama saya dalam kerja membantu dan menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan termasuk frontliner.

Saya minta maaf. Saya memang jadikan media ini medan berkongsi rasa kasih sayang dengan semua. Tadi menangis saya beri keterangan pada beberapa pegawai sebab penat kot. Serius penat sangat. Saya tak salahkan sesiapa. Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa. Cuma cina Islam yang sayangkan Islam dan Negara Malaysia.

Saya minta maaf pada semua yer. Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung. Saya cuma akan transfer duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja. Jangan tag saya lagi kes orang susah. Nanti habis PKP baru saya cuba bantu.

Saya cuma nak peluk anak saya. Saya nak peluk bidadari saya. Selamat Ramadhan pada semua. Jika ini harga perlu dibayar setelah semua ini saya reda. Saya minta maaf pada semua ye. Saya salah. Kepada Allah saya berserah. Ya Allah aku adukan sedih aku, susah aku hanya kepada Engkau,"
tulisnya dalam kenyataan itu.

---


Hari ini PDRM sendiri mengesahkan Ustaz Ebit Lew sememangnya diberikan kebenaran untuk mengedarkan bantuan di musim PKP.

Bukannya suka-suka nak langgar SOP dan arahan duduk rumah pun.

Agak-agaklah, kerja siapa eh yang suka report mereport dan tak senang dengan usaha orang lain membantu orang miskin ya.

Kebetulan kejadian ini berlaku selepas Ustaz Ebit Lew memberikan bantuan di Kedah. 

Baca;

Polis mengesahkan pendakwah terkenal, Ebit Lew diberi kebenaran untuk memberi sumbangan keperluan terutama makanan kepada golongan tidak berkemampuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya tidak pernah menghalang pendakwah itu untuk berbuat demikian selagi beliau mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setakat ini, tiada sebarang kertas siasatan akan dibuka terhadap pendakwah itu.

"Bagaimanapun, polis ingin menegaskan bahawa tiada siapa yang boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang ke atas sebarang pelanggaran berkaitan pelaksanaan PKP,"
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Ebit Lew dipanggil memberi keterangan berikutan reaksi orang ramai berhubung tindakannya memaparkan aktiviti kebajikannya ketika PKP.

Berdasarkan pemerhatian orang ramai memberi respon positif dan ada terdapat juga yang tidak senang dengan aktiviti berkenaan.

 


Kontroversi yang tercetus mengenai perkara ini memaksa polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan kekal terpelihara.

"Dalam melaksanakan apa juga aktiviti orang ramai dinasihatkan mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan topeng muka dan mula serta menggunakan pencuci tangan," katanya.

Semalam, Ebit Lew dilaporkan berkata, tidak lagi akan memberi bantuan orang tidak berkemampuan secara langsung.

Pendakwah itu berkata, pendirian terbabit diambil selepas dipanggil ke Bukit Aman semalam, bagi memberi keterangan berhubung laporan beberapa pihak yang mempertikaikan khidmat bantuannya yang tular di media sosial. (Berita Harian) - 25 April 2020.