t>

Breaking News

Suami Isteri Didakwa Guna Logo Tak Diperakui - Betul Ke Kes InI Ada Kaitan Dengan Kartel Daging Haram?

JENAYAH | Kalau nak diikutkan kenyataan Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol semalam, katanya hari ini akan ada pendakwaan berhubung perkembangan susulan kes kartel daging haram.

Tapi selepas membaca butiran lengkap, rasa macam pelik pula. Bukankah gudang diserbu hari itu di Senai dan penguatkuasa telah merampas barang-barang bernilai RM30 juta.

Apa pula kaitan kes ini dengan kes itu yer? Adakah gudang ini yang diserbu penguatkuasa hari itu?

Baca detail dibawah ini;

1. Syarikat Raihanah Cold Storage Sdn Bhd hari ini didakwa kerana menggunakan logo halal yang tidak diperakui.

2. Syarikat tersebut diwakili oleh;

- Rahman Sheikh Abdullah, 44 dan
- Raihanah Kasim, 42.

3. Mereka berdua merupakan pemilik dan pengarah syarikat Raihanah Enterprise.

4. Mereka berdua juga merupakan pasangan suami isteri dan mempunyai 4 cahaya mata berusia antara 10 hingga 20 tahun.

5. Mengikut pertuduhan pertama, Raihanah Cold Storage Sdn Bhd yang diwakili pasangan suami isteri itu didakwa memperakui bahawa perkhidmatan berhubung dengan syarikat tersebut adalah halal dengan menggunakan logo halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa berwibawa, pada sebuah lori jenama Isuzu.

6. Mengikut pertuduhan kedua, Rahman dan Raihanah, dituduh secara bersama selaku pemilik syarikat Raihanah Enterprise melakukan kesalahan sama, pada sebuah lori jenama Mitsubishi.

7. Syarikat Raihanah Cold Storage dan kedua-dua pengarah syarikat tersebut didakwa melakukan perbuatan terbabit di premis perniagaan Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, di Taman Perniagaan Setia, di Johor Bahru, kira-kira 1 tengah hari, 1 Disember lepas.

8. Raihanah Cold Storage didakwa mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (A) perintah yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda sehingga RM500,000.

9. Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat, pula didakwa mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (B) perintah yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.

10. Bagaimanapun kedua-dua pengarah syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

11. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya T. Ashvinii, yang memohon mahkamah mengenakan wang jaminan masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap Rahman dan Raihanah bagi pertuduhan kedua itu, memandangkan kes logo halal mendapat liputan meluas media dan turut dibincangkan di Parlimen.

12. Peguam Lau Kok Guan dan Noor Liana Hashim yang mewakili pasangan itu, bagaimanapun, merayu jaminan dikurangkan dengan alasan syarikat itu masih beroperasi dengan memiliki 20 pekerja serta masih menanggung anak-anak.

13. Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu diikat jamin masing-masing RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jan depan untuk sebutan semula kes tersebut. - 30 Disember 2020.