Bukan Buang Sampah, Tapi Saka - Alasan Tak Masuk Akal Kata Netizens.
VIRAL | Nampaknya tindakan seorang wanita yang kantoi membuang sampah ke dalam sungai semakin teruk dikecam netizens seluruh Malaysia.
Ini gara-gara memberikan alasan mereka membuang saka, berbanding sampah.
Terdahulu, aksi wanita itu berjaya dirakamkan pengguna jalanraya apabila kereta yang dinaikinya diberhentikan di jambatan semata-mata mahu membuang sesuatu, yang pada awalnya dianggap sampah oleh netizens.
Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengecam perbuatan tersebut yang dianggapnya tidak mempedulikan kebersihan alam sekitar.
"Hari ini viral video sebuah kereta berhenti di atas jambatan dan membuang sampah ke dalam sungai. Saya ingin melahirkan rasa kecewa di atas sikap yang ditunjukkan.
Dalam usaha kementerian melancarkan kempen menjaga sungai, masih ada segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan kebersihan sumber air kita.
Pelaku seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu.
Terima kasih kepada yang membuat rakaman," katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di Facebooknya malam tadi.
Susulan dari kecaman bertubi-tubi yang diterima oleh wanita tersebut, admin group Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) telah dihubungi oleh keluarga wanita terbabit bagi memberikan penjelasan.
Menurut admin terbabit, keluarga wanita itu mengatakan mereka sebenarnya bukanlah membuang sampah sebaliknya saka.
Keluarga itu mendakwa mereka baru pulang berubat dari Kuala Krai dan pengamal perubatan tradisional memberitahu bahawa saka itu perlu dibuang ke dalam arus sungai yang mengalir.
Kerana itulah mereka berhentikan kenderaan di atas jambatan tersebut bagi membuang saka.
Admin tersebut juga merayu agar netizens hentikanlah segala maki hamun dan cacian terhadap wanita terbabit. Mereka juga meminta maaf di atas perlakuan tersebut.
Ini kerana disebabkan insiden tersebut, pesakit tersebut kini menangis dan kemurungan, tulis admin group itu lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, JPJ Kelantan mengesahkan sudah mengambil tindakan ke atas wanita terbabit.
JPJ menerusi kenyataan media berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan berkenaan.
"Membuang sampah dari kenderaan bermotor adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kaedah 52 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas Jalan 1959.
Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan terhadap pelaku mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Jika sabitan kesalahan kedua boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara tidak melebihi dua bulan penjara atau kedua-duanya," katanya.
Walaupun telah meminta maaf dan memberikan alasan saka sebagai punca membuang bungkusan tersebut, netizens nampaknya masih tak berhenti mengecam perbuatan wanita itu.
Ini kerana kebanyakan netizens tidak dapat menerima alasan membuang saka. Ada yang beranggapan ia adalah alasan yang sengaja di ada-adakan, manakala sesetengah yang lain berkata khurafat.
Ada juga yang mempersoalkan bagaimana membuang saka ke dalam sungai dapat membantu memulihkan kembali pesakit tersebut jika bomohnya menasihatkan pesakitnya merosakkan alam sekitar ciptaan Allah yang jelasnya bertentangan dengan prinsip Islam. - 6 Januari 2020.