t>

Breaking News

Boy Iman Mahu Tahu Kenapa Gelaran Datuknya Ditarikbalik.

SEMASA | Semalam beberapa portal berita tempatan melaporkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin yang menjunjung titah perintah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberitahu gelaran Datuk menerusi Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada Noruliman A Rahman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman ditarikbalik.

Gelaran Datuk terhadap;

1. Pelakon Farid Kamil

2. Wong Shee Kai@Ricky

3. Tran Thi Mai@Maimunah

juga diperintahkan tarikbalik. Berdasarkan tarikh surat, perintah tersebut berkuatkuasa pada 1 Februari lepas.

Salehuddin juga berkata, penama-penama tersebut tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan.

Dan mereka juga perlu mengembalikannya kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang.

Sebagai rekod, Farid Kamil dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang di Istana Abu Bakar Pekan pada Disember 2017 manakala Boy Iman menerima darjah kebesaran itu pada Mac tahun yang sama.

Farid Kamil dilihat akur dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya juga dengan penuh rasa hormat menerima keputusan dari pihak Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada saya.

“Sejak 16 Disember 2017 saya amat berbangga dan berbesar hati membawa gelaran Datuk yang dikurniakan Istana Pahang.

“Saya menjunjung kasih di atas penganugerahan tertinggi dalam hidup saya ini dan menerimanya dengan penuh kerendahan diri pada ketika itu,”
katanya melalui satu hantaran dalam Instagram.

Namun reaksi Boy Iman sedikit berbeza.

Boy Iman mengatakan beliau agak terkejut kerana dia mendapat tahu mengenai penarikan gelalaran menerusi pihak media dan belum menerima sebarang surat rasmi berkenaan penarikan balik darjah kebesaran itu.

“Setakat ini saya belum menerima sebarang surat rasmi daripada Kerajaan Pahang berhubung penarikan balik darjah kebesaran.

“Saya tidak kecewa namun saya sendiri terkejut apabila dapat tahu daripada kawan-kawan media bukan daripada surat yang sepatutnya diberikan kepada saya melalui pihak istana.

“Saya rasa sedikit ralat kerana apa yang dilakukan tidak melambangkan kredibiliti atau protokol sedangkan saya sendiri tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak istana sampai hari ini,”
katanya, memetik laporan dari Kosmo.

Dalam pada itu, Boy Iman berkata dia tidak akan teragak-agak untuk menulis sendiri surat kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK Pahang) untuk bertanyakan sebab gelaran itu ditarik balik.

“Saya tak berani nak komen panjang. Saya tunggu sampai Jumaat ini kalau belum ada apa-apa surat istana atau SUK Pahang, saya sendiri melalui peguam saya akan tulis surat kepada pihak mereka.

“Sebab bagi saya, surat rasmi kepada mereka yang terlibat (ditarik balik darjah kebesaran) harus didahulukan sebelum memberi kenyataan media kepada wartawan,”
katanya lagi. - 11 Februari 2021.