t>

Breaking News

Jangan Percaya Putar Belit Mahathir Rayu Najib Kepada Rakyat.


Lima hari selepas gagal menghadiri forum "Nothing to Hide", Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini merayu rakyat Malaysia supaya tidak "diperdaya" kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya "separuh benar, jenaka yang mengelirukan dan berputar belit".

Najib pada Jumaat lepas tidak hadir pada dialog anjuran badan bukan kerajaan yang dijadualkan membincangkan isu semasa termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang turut dihadiri bekas perdana menteri itu.

Menggelar Dr Mahathir sebagai "pakar persepsi umum", Najib dalam satu lagi posting di blognya hari ini mempertahankan dirinya daripada serangan negarawan bersara itu, terutamanya berhubung hutang RM42 bilion 1MDB.

Sebaliknya, katanya, rakyat perlu berfikir sejenak dan menganalisis fakta yang ada, sambil menambah, begitu banyak sumbangan beliau kepada negara sepanjang enam tahun lalu sejak mengambil alih pentadbiran negara.


"Tun ialah seorang ahli politik veteran dan pakar persepsi umum. Beliau faham yang kenyataan politik tidak semestinya mencerminkan kebenaran, tetapi ia mengenai apa yang menjadi kepercayaan masyarakat umum.

"Sebab itu dia terus membuat sindiran, bercakap separuh benar, membuat jenaka yang mengelirukan dan memutar belit kenyataan, supaya pandangannya nampak menarik dan memuaskan," kata Najib dalam satu siri berterusan di ruangan Soalan Lazim blog blog, khusus untuk menangani tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

"Begitu banyak yang kita lakukan dalam tempoh enam tahun yang lalu, tetapi Tun tidak mengendahkan semua ini sebaliknya hanya membangkitkan dakwaan dan masalah kerana beliau tahu, dengan cara itu beliau dapat mempengaruhi fikiran rakyat menentang kerajaan sekarang dan saya," katanya dalam blognya www.najibrazak.com.

"Saya menggesa ahli Umno dan BN bersama dengan semua rakyat Malaysia tidak diperdaya setiap kali Tun menyerang. Fikirlah sejenak dan analisis fakta yang ada." -TMI