t>

Breaking News

Pegawai Perubatan Terangkan Kaedah Paling Tepat Bila Berdepan Situasi Tertusuk Benda Tajam Di Badan.

Oleh : Muhsin Zaidi

Benar, ajal maut itu di tangan Tuhan. Tapi kita disuruh berikhtiar menggunakan ilmu yang ada.

Berita ini benar-benar mencarik hati saya. Saya ada anak perempuan yang sebaya dengan mangsa. Mari kita tengok apa yang boleh kita ambil pengajaran.

Kes ini, seorang kanak-kanak perempuan berumur 2 tahun maut apabila pisau sepanjang 15cm tertusuk perutnya, masuk rapat hingga ke hulu pisau. Mangsa berlari dan terpijak pinggan yang ada pisau di dalamnya, lalu terjatuh meniarap ke atas pisau. Neneknya yang panik terus MENCABUT pisau itu.


Saya faham keadaan cemas begitu, kadang-kadang kita boleh buat apa sahaja tanpa berfikir dahulu. Panik.

Ini isunya. Dalam perubatan kecemasan, apabila seseorang itu mendapat luka tusukan dan objek itu masih tertusuk, JANGAN sesekali cabut. Dalam kes ini, dikatakan tertusuk ke perut. Kita tak tahu pisau tu dah tikam organ apa di dalam. Mungkin dah kena limpa, mungkin kena kidney dan yang paling ditakutkan kalau terkena Abdominal Aorta (salur darah bernadi yang paling besar dalam badan). Aorta ni kalau terluka sikit memang memancut darah keluar tak berhenti sampai la darah habis.

Kadang-kadang, walaupun ditikam, tapi perdarahan dalaman masih perlahan kerana objek itu menyekat perdarahan dari luka. Selagi objek itu tidak ditarik keluar, selagi itu perdarahan masih perlahan. Kebiasaannya, jika pesakit sampai ke hospital dalam keadaan ada objek tertusuk, doktor akan scan dan tengok keterukan tusukan itu. Akan nilai risiko untuk cabut keluar. Hampir semua kes tusukan di abdomen begini dicabut di dewan bedah, tempat di mana perdarahan akan dikawal secara direct selepas objek itu dicabut.

Ingat, kalau ditikam atau tertusuk, jangan panik, jangan menjerit, jangan meneran dan yang paling penting JANGAN CABUT. Kurangkan pergerakan dan minta bantuan. InsyaAllah anda akan selamat. Jadikan pedoman.

Salam takziah buat keluarga mangsa.

-------------

Berita penuh : “SARA minta susu dengan saya. Masa itu saya sedang buai anak yang bongsu di bahagian dapur dan suruh dia tunggu sekejap.

"Dia terus lari ke arah neneknya yang ada berhampiran untuk minta buatkan susu, malangnya ketika berlari dia terpijak pinggan plastik yang ada pisau dan terjatuh atas lantai," kata Hana Mazlan, 27, ibu kepada Nur Qaisara Medina Supian, 2, yang maut akibat tertusuk pisau, hari ini.

Dalam kejadian di rumah ibu bapanya di Parit Telok Pial, Kuala Kurau, dekat Ipoh, 9.30 pagi tadi, mangsa tertusuk pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter (cm) di bahagian kiri perut yang terbenam hingga paras hulu pisau.

Menurut Hana, ketika kejadian anak keempatnya daripada lima beradik itu baharu sahaja selesai mandi dan tidak sempat memakai lampin pakai buang dan pakaian lagi.

"Sebaik terjatuh Sara terus menangis kuat dan saya terus lari dapatkannya serta meribanya namun masa itu saya tidak nampak pisau tertusuk di perut kirinya.

"Bila saya usap badannya barulah terasa hulu pisau yang warnanya sama dengan warna kulit anak.

"Tiada darah yang keluar dari tusukan itu, namun ibu mentua saya yang mungkin panik terus mencabut pisau berkenaan dan Sara daripada merengek terus senyap," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian terus meminta bantuan jiran untuk menghantar anaknya ke klinik berhampiran, namun anaknya sudah tiada pergerakan ketika iti dan pihak klinik terus menghantar anaknya ke Hospital Parit Buntar yang kemudian mengesahkan anaknya itu sudah tiada lagi.

Sementara itu, suaminya Supian Samsuri, 42, berkata, ketika kejadian dia berada ditempat kerja di Pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Bahagian Jentera (PPNJ) Perak Utara di Titi Serong, Parit Buntar.

"Sebaik dimaklumkan saya terus ke hospital namun anak saya disahkan sudah meninggal dunia.

"Pisau yang tertusuk anak saya itu adalah pisau melapah daging lembu, namun pagi tadi anak saya yang sulung dan kedua menggupas buah mempelam serta meninggalkannya atas pinggan di lantai," katanya.

Sufian yang bekerja sebagai pemandu traktor berkata, dia reda akan pemergian anaknya itu yang sejak kebelakangan ini cepat merajuk dan meragam jika tidak dapat apa yang dimahukannya.

Menurutnya, jenazah anaknya itu akan dibawa pulang ke rumahnya di Parit Telok Pial untuk urusan pengebumian yang dijangka akan dibuat pagi esok. (Harian Metro)