t>

Breaking News

Tommy: Lembaga kelayakan terima sijil UEC untuk ambil Peperiksaan Sijil Amalan Guaman

Kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).


Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, Tommy Thomas berkata, dalam mesyuarat pada 8 Mac lalu, badan itu sebulat suara memutuskan bahawa mulai 1 Jan 2021, syarat menduduki PSAG bagi pemegang sijil kelayakan UEC ialah lulus sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya 5 kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Levels/setaraf yang diperoleh dalam 1 peperiksaan yang sama.

Syarat ini hendaklah terpakai bagi semua pelajar yang mendaftar bagi kemasukan program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang selepas pengumuman keputusan terdahulu pada 5 Jun 2018, katanya dalam kenyataan semalam.


“Bagi mengelak apa-apa kekeliruan, adalah perlu ditekankan bahawa 1 Jan 2021, semua pelajar sama ada pemegang sijil UEC atau kelayakan lain yang diiktiraf, yang ingin menduduki peperiksaan CLP hendaklah memenuhi syarat 5 kepujian di peringkat SPM/O-Levels/ setaraf, dan kelulusan yang berkenaan di peringkat STPM/ UEC/A-Levels/setaraf yang diperolehi dalam 1 peperiksaan yang sama.

Menurut kenyataan itu, semua syarat lain adalah kekal terpakai sebagaimana dinyatakan dalam “Garis Panduan Baharu Kelayakan dan Syarat Untuk Layak Menduduki Peperiksaan CLP (Ijazah Undang-Undang dari United Kingdom) dan Garis Panduan Kelayakan dan Syarat Pengiktirafan Pemegang ijazah Undang-Undang dari Australia dan New Zealand Untuk Layak Mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Terdahulu, pada 5 Jun 2018, lembaga kelayakan itu mengumumkan keputusan bahawa syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil kelayakan UEC mulai tahun 2021 ialah perlu mempunyai kelayakan UEC dan lulus penuh sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran di peringkat STPM/A-Levels.

Pada masa ini, syarat kelayakan bagi pemegang sijil kelayakan UEC untuk menduduki CLP adalah memperoleh sekurang-kurangnya 3 kepujian di peringkat SPM/O-Levels yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama; atau kelayakan UEC dan lulus penuh sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran di peringkat STPM /A-Levels yang diperoleh dalam satu peperiksaan sama.

Thomas berkata, sebagai respons terhadap representasi daripada pelbagai pihak, lembaga kelayakan itu telah membuat kajian semula, termasuk mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di United Kingdom mengenai penerimaan sijil kelayakan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang [LLB (Hons)].

Badan itu turut mendapatkan penjelasan daripada Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berhubung tahap kelayakan UEC yang boleh diterima sebagai syarat kemasukan bagi mengikuti program ijazah di universiti.

Turut diambil kira ialah kesan pengumuman keputusan terdahulu terhadap pemegang sijil kelayakan UEC yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang semasa pengumuman tersebut dibuat pada 5 Jun 2018.

“Hasil daripada itu, lembaga kini berpuas hati bahawa kelayakan UESC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat STPM bagi tujuan menduduki CLP,” kata Thomas. - 30 Mac 2019.


Sumber : Free Malaysia Today.