t>

Breaking News

Kenapa Pintu Pagar Masjid Dikunci Selepas Isyak..

Oleh : Arif Atan

Kenapa pintu pagar masjid dikunci selepas Isyak?

Di Pekan Tanjung Karang, Selangor, Adam Sufyan dipukul sekitar jam 11 malam dengan besi kerana dituduh mencuri wang tabung masjid.




 
Imej wajah Adam disimbah darah yang mengalir dari dahinya dirakam di muka akhbar. Kasihan sungguh dia. Sampai hati orang yang pukul.

Remaja berusia 17 tahun hanya singgah solat Isyak selepas bekerja di sebuah gerai nasi lemak berdekatan masjid itu.

Adam letak motosikal miliknya tidak jauh dari masjid dan masuk melalui celah pagar yang sudah rosak apabila didapatinya pagar utama depan dan belakang masjid itu berkunci.

Umur awal 20-an dulu, saya pernah dengan kawan bertiga berkereta. Jam baru 9.30 malam ketika itu.

Salah seorang daripada kami ajak singgah masjid yang lagi 500 meter di hadapan. Dia tidak tahan benar untuk buang air. Katanya, boleh terus solat Isyak walau di serambi masjid saja.

Tapi seorang lagi kawan yang sedang memandu spontan menjawab, "Toksah lah. Kita singgah Petronas je. Lepas masjid itu ada (stesen minyak Petronas).

"Kau sembahyanglah kat surau tu kalau nak. Kang kat masjid nanti orang ingat kita nak mencuri!"

Nampak? Fasa usia remaja selalu dipandang lekeh lagi jahat. Remaja pula anggap orang lebih tua yang dulu pun pernah muda jadi terlalu prejudis dengan mereka.

'Orang masjid' pula (bukan semua, hanya segelintir - harapnya) lebih suka pukul rata, berprasangka buruk kepada orang lain.

Mengapa tidak jawatankuasa masjid sepakat upah dua orang pengawal keselamatan selain pasang CCTV?

Tak perlu ambil warga asing. Upah pun tidak perlu tinggi tapi tidaklah harus terlalu rendah.

Dalam ribuan ahli kariah, mustahil tiada walau seorang pun bekas tentera atau polis atau Rela tidak pun anggota Unit Amal (Pas) yang masih sihat boleh bertugas menjaga masjid selama 8 jam sepanjang tempoh masjid paling lengang.

Contohnya, mulai jam 9 malam (waktu lazimnya, jemaah sudah ramai meninggalkan masjid selepas Solat Isyak, berwirid, berdoa, beriktikaf, sembang-sembang geng pencen di kaki tangga masjid) hingga jam 5 pagi (menjelang waktu Solat Subuh)?

Dari situ, masjid boleh saja diimarahkan 24 jam seperti ramai orang Islam lelaki mak orang, gadis TikTok khususnya orang Melayu suka benar 'mengimarahkan' restoran mamak yang beroperasi tanpa henti walaupun status bersih lagi suci diragui.

Jadi, mulakan masjid dibuka 24 jam ini di kawasan bandar, pekan dan dikelilingi kawasan penempatan.

Jika ada pengawal, ahli kariah boleh datang jam 3, 4 pagi untuk ibadat seperti sembahyang tahajud, contohnya, dalam keadaan lebih tenang dan aman.

Melambung

Oh, nanti bil elektrik, bil api melambung? Tutuplah suis utama untuk penghawa dingin. Hanya benarkan pasang kipas.

Mulai dari mimbar dan saf depan hingga ke tengah dewan solat, boleh saja tutup.

Rentang tali penghalang dan bentangkan 5,10 helai sejadah, bawa beberapa kipas berdiri itu sekali sebagai penanda untuk saf pertama masjid untuk tempoh 9 malam - 5 pagi itu.

Gunalah duit tabung masjid. Duit tabung bukan sedikit. Tambahan kalau masjid di kawasan bandar dan taman perumahan ramai orang berpencen. 'Masjid kaya woi'.

Usai solat Jumaat minggu lepas di Masjid Jamek Kampung Baru comtohnya, jelas depan mata saya dari aras 2 masjid melihat duit RM50 saja seinci tebal di tangan orang yang sedang mengira lambakan duit di atas bentangan sejadah.

Tidak pasti duit itu daripada beberapa tabung atau semua tabung sebab terlindung dengan tiang masjid.

Itu pun baru tabung yang digerakkan dari satu jemaah ke jemaah lain. Kalau tabung statik di hampir tiap dinding itu, tidak tahulah banyak mana!

Di masjid lama dekat tapak Flat Pekeliling sebelah Bulatan Pahang, walaupun sudah "hilang" ahli kariah - flat lama itu sudah diroboh untuk projek MRT - tapi kutipan derma mingguan cecah ribuan ringgit. Angkanya ada ditulis di papan kenyataan. Itu 2, 3 tahun lalu. Sekarang, tidak tahulah.

Rata-rata masjid hatta di pekan kecil, hasil kutipan hari Jumaat saja untuk sebulan lazimnya begitu lumayan kalah pendapatan sebulan seorang jurutera baru bergraduan!

Jadi, apa guna ahli kariah menderma kalau tidak dipulangkan dalam bentuk membuka ruang memberi kemudahan untuk solat malam, kan?

Kalau masih soal duit jadi hitungan, buat saja tabung khas yang boleh dinamakan Tabung TABIM - Tabung Ibadat Malam.

Ini tidak. Maaf saya sebutkan, sesetengah masjid nampak bukan main kedekut sungguh untuk menghidupkan walau sebiji lampu di ruang yang bukan dewan utama masjid ketika solat Jumaat sedangkan ada bahagian tertentu di sayap kanan kiri atau aras 2 masjid sudah sedikit terlindung sekali gus gelap kelam.

Jawatankuasa masjid tidak fikirkah jemaah yang hadir itu ada yang rabun akhirnya menggagau mencari cermin mata selepas memberi salam!

Jadi, apabila kita membaca nasib malang Adam dipukul di dahi dengan besi (gila isim agaknya lelaki berusia 40-an itu), itu tidaklah "menghairankan".

Itulah sebabnya, 'orang masjid' kita mesti berjiwa insani. Pintu pagar masjid mesti dibuka 24 jam sehari.

Masjid insani, ummah diberkati.