t>

Breaking News

Tommy Thomas Bebas Daripada Tuduhan Hina Inkues Adib.

SEMASA | MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Peguam Negara Tommy Thomas daripada tuduhan hina mahkamah dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, lapor portal Free Malaysia Today.


Pesuruhjaya Kehakiman Meor Hashimi Abd Hamid menolak permohonan dibuat ayah Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, dengan alasan ia gagal memberikan fakta penghujahan.

“Koroner (Rofiah Mohamad) juga gagal mempertimbangkan beberapa perkara dibangkitkan AG dan pegawainya (Hamdan Hamzah) dalam afidavit mereka,” katanya dalam membenarkan rayuan Thomas supaya pertuduhan itu digugurkan.

Peguam Ambiga Sreenevasan, Zainur Zakaria dan Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy mewakili Thomas, manakala Mohamed Haniff Khatri Abdullah mewakili Kassim.

Kassim memfailkan permohonan hina mahkamah terhadap Thomas menerusi afidavit difailkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu yang mengatakan kematian Adib bukan disebabkan kecederaan dialaminya.

Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018.

Pada 27 September lepas, inkues yang dibuat dihadapan Rofiah memutuskan kematian Adib adalah disebabkan oleh kecederaan dilakukan lebih dua orang tidak dikenali ketika menjalankan tugas pada rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya pada November 2018.

Katanya, kecederaan dada Adib bukan disebabkan kemalangan tetapi disebabkan dua atau tiga individu tidak dapat dikenal pasti menariknya keluar daripada kenderaan bomba yang dinaikinya. – 28 Januari 2020.