t>

Breaking News

#CORONAVIRUS : Ada Apa Dengan 2019-nCoV?

INFO | CELIK VIRUS

Belum pun reda kisah jangkitan influenza, kini rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan berita penularan jangkitan koronavirus baru (2019-nCoV). Seolah-olah hilang kebimbangan berkaitan bekalan antivirus Tamiflu.

 


Saban hari netizen kelihatan begitu peka dan sentiasa menanti-nanti perkembangan terkini kes virus 2019-nCoV. Pendapat dan kenyataan yang pelbagai kadangkala mengundang kekeliruan dikalangan warga maya dan warga realiti.

Penulisan ini dikongsi untuk sama-sama kita kenal dengan lebih dekat berkenaan virus dan diharapkan dapat membantu kita menilai sesuatu berita dengan lebih baik dikala kehangatan isu yang melanda dunia ketika ini.

1. Apakah itu virus?

- Virus adalah agen berjangkit yang sangat halus.


- Agen ini bergantung penuh kepada perumah(host) untuk berfungsi dan membiak.


- Perumah kepada virus termasuklah manusia, binatang, tumbuhan dan bakteria.

2. Bagaimana virus tersebar?

A) Jangkitan manusia kepada manusia. Contohnya melalui:

- Cecair badan: Merangkumi air liur, lendir dan sebagainya yang dirembeskan sewaktu pesakit batuk, bersin, malahan bercakap dan bernafas.


- Sentuhan: Menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus seperti tombol pintu dan butang lif kemudian menyentuh mata, mulut dan hidung.

B) Penyebaran virus dari haiwan kepada manusia. Ia boleh berlaku melalui:
- Udara: Seperti penyebaran virus influenza.


- Cecair badan: Seperti air liur anjing yang boleh mengandungi virus rabies.
- Daging dan makanan laut yang tidak dikendali dan dimasak secara selamat boleh menyebarkan jangkitan seperti virus hepatitis dan norovirus.

C) Vektor: Seperti nyamuk 'Aedes aegypti' yang menjadi vektor penyebaran virus denggi, chikungunya dan Zika.

3. Bagaimana virus menjangkiti perumah(host)?
Kita ambil contoh virus respiratory syncytial (RSV) yang biasanya menjangkiti anak-anak berusia 2 tahun dan ke bawah. Apabila virus ini berjaya memasuki sistem pernafasan, ia akan bercantum dengan reseptor seperti CX3CR1 yang wujud di permukaan sel paru-paru manusia.

Reseptor ialah komponen sel perumah yang dikenalpasti oleh virus yang membolehkan jangkitan berlaku.

Percantuman ini (virus + reseptor) membolehkan virus menyuntik kod genetiknya ke dalam sel. Bermula dari saat ini, virus akan menggunapakai sel yang dijangkitinya sebagai kilang pengeluar virus-virus baru. Virus-virus ini kemudiannya menjangkiti sel-sel yang lain.

4. Ada apa dengan 2019-nCoV?

- Setakat artikel ini ditulis, angka kematian melibatkan jangkitan virus 2019-nCoV telah meningkat kepada 132 orang dengan 6000 kes disahkan di China sahaja.

- Sekurang-kurangnya 16 negara termasuk Malaysia turut disahkan positif kes 2019-nCoV.

- Jangkitan pertama yang dipercayai bermula di pasar basah Huanan (Huanan South China Seafood Market) di Wuhan dilaporkan pada 31 Disember 2019.

- Seperti virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pesakit menunjukkan gejala penyakit pneumonia termasuk demam, batuk dan sesak nafas.

- Terkini, saintis melaporkan pesakit berupaya menyebarkan virus walaupun belum terdapat gejala jangkitan. Gejala yang biasanya mengambil masa antara sehari sehingga 14 hari sebelum ia kelihatan. Hal ini merumitkan lagi proses mengenalpasti pesakit.

- Pasar basah Huanan bukan sahaja menjual makanan laut tetapi juga haiwan liar termasuk kelawar, ular, burung dan binatang-binatang lain.

- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kewujudan virus ini dalam sampel persekitaran yang diambil di pasar basah Huanan. Bagaimanapun, sehingga ke hari ini masih belum dapat dikenalpasti haiwan yang berpotensi menjadi penyebar virus ini.

- Pada awalnya terdapat perdebatan bagaimana cara virus ini tersebar. Berdasarkan peningkatan kes yang drastik, keupayaan virus ini tersebar melalui haiwan kepada manusia dan manusia kepada manusia sukar untuk dinafikan.

- Jika dilihat kepada corak jangkitan dan angka kematian, terdapat kemungkinan besar virus ini meyebabkan jangkitan yang lebih parah kepada warga emas (berusia 60 tahun dan ke atas) terutamanya yang mengalami masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan jantung.

5. Apakah langkah pencegahan?

- Elakkan terdedah kepada persekitaran dan pesakit yang dijangkiti virus.

- Basuh tangan menggunakan air dan sabun sekurang-kurangnya selama 20 saat, dengan kerap.

- Jika tiada air dan sabun, guna sanitizer yang berasaskan alkohol.

- Elakkan menyentuh mata, mulut dan hidung dengan anggota badan yang terdedah kepada virus.

- Gunakan tisu (bukan saputangan) sewaktu bersin dan batuk. Buang tisu setelah digunakan ke dalam tong sampah.

- Amalkan kebersihan diri dan persekitaran seperti yang dituntut oleh Islam.

- Makan makanan yang dihalalkan oleh Allah. Pastikan makanan ini dikendali dan dimasak dengan cara yang selamat(halalan thayyiban).

- Amalkan gaya hidup aktif dan sihat. Elakkan tekanan(stress) yang boleh memberi kesan kepada sistem pertahanan badan.

Pencerahan ringkas ini diharap dapat membantu kita untuk lebih memahami isu virus 2019-nCoV. Seterusnya memantapkan kesungguhan kita untuk lebih mendalami ilmu Allah yang luas. Dengan kefahaman yang betul kita dapat mengeluarkan kenyataan yang betul.

Berhujah secara hikmah dan merendah diri dengan kekuasaan Allah yang berupaya menghantar sekecil-kecil mahluk sebagai ujian yang boleh memusnahkan manusia.

Nota : Penulisan ini menggunapakai bahasa yang mudah dengan mengurangkan istilah saintifik bagi membantu kefahaman masyarakat umum.

Ditulis oleh:
Dr. Hani’ah Abdullah
Anti-infective virologist, Alderley Park, UK.


Penulis merupakan seorang yang berpengalaman dengan penyelidikan virus (neurovirology) dalam bidang akademik di pusat pengajian tinggi di UK selama lebih 10 tahun. Kini berkhidmat didalam industri penyelidikan anti-viral sejak 2016.

----------------------------------------------------------------------
Rujukan utama:

Gralinski, L E and Menachery, V D. Viruses 2020, 12, 135
https://www.cdc.gov/coronavirus/about/prevention.html

WHO - Novel Coronavirus (2019-nCoV) Situation Report - 7
https://www.bbc.co.uk/news/health-51048366