t>

Breaking News

#COVID19, Betul Ke Beras Cukup? Pengilang Beras Tanya Menteri.

BERITA | PENGILANG beras mempersoalkan sama ada Malaysia benar-benar mempunyai stok beras mencukupi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
 

 
Menurut Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), mereka sendiri tidak tahu di mana stok beras disimpan walau pemimpin kerajaan mendakwa bekalan cukup untuk kegunaan tempatan.

Yang Dipertua PPBMM Mohamad Termizi Yop berkata perkara itu diketahui apabila mereka cuba mendapatkan stok untuk mengilangkan padi sewaktu PKP berkuatkuasa.

Ini memandangkan hanya syarikat bawah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sahaja dibenarkan untuk mendapatkan stok padi dalam tempoh ini.

“Wakil pihak persatuan hadir sendiri dan berjumpa dengan Bahagian Kawalselia Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Namun kecewa apabila diberitahu bahawa pihak bahagian kawalselia sendiri tidak tahu di mana tersimpannya stok beras tersebut,”
katanya dalam satu kenyataan.

Termizi berkata ahli persatuan ingin membeli stok beras tempatan untuk dibungkus, namun Bernas tidak memberikan kerjasama.

“Persatuan mempersoalkan di manakah bekalan beras negara disimpan dan bagaimanakah mekanisme pengedaran stok beras negara dilaksanakan?

“Ahli persatuan ingin membeli beras tempatan untuk dibungkus dan dijual secara runcit di pasaran tetapi gagal mendapatkan bekalan dari pihak Bernas,”
katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar kerajaan dapat melakukan kiraan stok beras sebenar secara fizikal dan merekodkan lokasi penyimpanan beras tersebut.

Termizi berkata mereka mahu memastikan bekalan padi dan beras dapat diedarkan dengan adil kepada para pengilang dan pemborong demi memastikan bekalan beras sentiasa cukup di setiap kawasan.

Ini kerana kementerian mengarahkan pengilang beras Melayu di Terengganu dan Kelantan membekalkan beras kepada pemborong di negeri terbabit sahaja dan bukan untuk pasaran luar.

“Di manakah tanggungjawab Bernas ketika ini pada ketika negara sedang menghadapi kekurangan bekalan dalam tempoh PKP ini?,” soalnya.

Beliau memberi contoh, syarikat bumiputera Melayu di Perak cuba mendapatkan bekalan beras dari Bernas tapi tiada stok beras.

“Apakah tindakan kerajaan khususnya dalam membantu pemborong bagi mendapatkan bekalan pada ketika ini?,” soalnya.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam memberi jaminan bekalan beras mencukupi tetapi produk keluaran jenama tertentu mungkin tiada dalam pasaran. (The Malaysian Insight)