t>

Breaking News

#Covid19, Keluarga B40 Berhimpit Di Rumah Sempit.

PERINTAH Kawalan Pergerakan bukan sahaja memberi tekanan ekonomi kepada golongan berpendapatan rendah tetapi juga kesihatan mental kerana terpaksa bersesak-sesak di kediaman sempit.

Kalangan keluarga yang ditemui The Malaysian Insight di kediaman Projek Perumahan Rakyat di Pulau Pinang juga mengeluh kerana bekalan makanan cepat habis memandangkan semua ahli berada di rumah.

Seorang suri rumah di Flat PPR Taman Manggis di Georgetown, Maznah Razi,44, terpaksa menerima keadaan sempit itu lebih-lebih lagi dua anak sulungnya yang bekerja perlu bercuti.


“Anak-anak yang bersekolah, (sebelum PKP) mereka lapar pun dapat Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tapi kalau sekarang, bekalan makanan cepat habis sebab anak-anak asyik lapar sejak bercuti.

“Dua anak perempuan saya juga tidak bekerja dan keadaan jadi sesak. Nak buat penjarakkan sosial macam kerajaan cakap memang susah lah, saya hanya suruh anak-anak lain tidak bermain luar rumah,”
katanya.

Daripada 12 anaknya, tiga anak sudah bekerja, tetapi dua daripada mereka perlu bercuti. Disebabkan itu, kewangan keluarga mereka terjejas.

Mereka bekerja bagi membantu ayah mereka berusia 43 tahun, yang bekerja sebagai mekanik motosikal yang menerima gaji antara RM60 hingga RM 70 sehari.

Kedai motosikal merupakan antara kategori industri yang dibenarkan operasi sepanjang tempoh PKP.

“Sejak PKP dijalankan, suami turut bercuti tetapi ada masa beliau akan dipanggil bekerja. Jadi pendapatan kami terjejas sebab dibayar gaji mengikut hari,”
tambahnya.

Di Flat Desa Wawasan di Bukit Mertajam pula, Noor Ikzaurdi Mohamed dan lima orang anaknya tinggal serumah bersama ibu dan dua adik lelakinya.

Beliau mula mendiami rumah itu sejak diceraikan suami tiga tahun lepas, dan sudah enam kali memohon unit PPR baharu tetapi tidak berjaya hingga ke hari ini.

Ketika PKP, ruang rumahnya semakin terhad serta ekonomi keluarganya juga terkesan. Luas rumahnya dianggarkan sekitar 600 kaki persegi.

“Rumah jadi sempit lah. Saya pun terpaksa tidur dengan anak-anak di ruang tamu sebab dua adik lelaki saya tidur di bilik.

“Dalam keadaan sekarang, hanya saya seorang yang dapat bekerja. Ibu dan dua adik lelaki perlu bercuti kerana PKP, kami terpaksa bersesak dan berhimpit dalam rumah ini, ”
kata ibu tunggal berusia 44 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

“Saya bekerja di sebuah restoran 24 jam, gaji dibayar sejam RM5.60 dan perlu bekerja lapan hingga sembilan jam.

“Tetapi sebab PKP, kami dibenarkan kerja 5 jam sahaja,”
jelas beliau yang turut mendapat bantuan zakat RM400 sebulan.

Noor Ikzaurdi bekerja di restoran makanan ringan yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP dengan syarat untuk pembungkusan atau penghantaran makanan sahaja.

Dibawah PKP, semua rakyat dinasihatkan mengamalkan penjarakkan selamat.

Namun bagi Fatimah Pak Wan Chik, 70, perkara itu sukar untuk diamalkan.

Beliau yang menetap di Flat Taman Sri Penang, Georgetown, tinggal bersama lapan orang- berkongsi dalam rumah dengan ruang yang sempit.

Selian Fatimah, suaminya, anak lelaki bersama isterinya termasuk empat orang anak mereka tinggal bersama.

“Rumah flat ini saya tinggal bersama suami sejak 2000. Waktu itu anak lelaki belum berkahwin.

“Selepas berkahwin, beliau tidak mampu membeli atau menyewa rumah lain kerana tiada pekerjaan tetap. Jadi kami berhimpitlah lapan orang lebih-lebih lagi waktu Covid-19 ini,”
jelas beliau.

Menurut beliau lagi, selalunya rumah sunyi kerana cucu bersekolah dan anak bekerja, tetapi kini ruang rumah mereka bertambah sempit.


“Jadi semua orang pun tidak pergi mana-mana. Apabila siang semua berkumpul dekat ruang tamu.

“Rasa tertekan juga dengan keadaan yang sesak ini. Tapi ini saja yang kami mampu,”
jelas wanita itu.

Tambahnya, keadaan itu juga menyebabkan bekalan makanan cepat habis.

“Sebelum ini cucu di sekolah makan di sana, anak pun makan di luar. Jadi sekarang semua di rumah, bekalan makanan cepat habis.

“Kita tak mampu nak beli stok makanan banyak-banyak,”
katanya.

Menurut kerajaan, bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP yang akan tamat pada 31 Mac, kerana industri bekalan makanan dan pertanian dibenarkan beroperasi.

Walaupun rakyat telah dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik, tetapi ia masih berlaku sehingga stok barangan cepat habis dan pasar raya tidak sempat menambahnya.

123 kes baharu direkodkan semalam, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 1,306.

Daripada kes tersebut, 46 individu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 22 pula melalui ventilator.

Di Pulau Pinang, terdapat 58 kes positif Covid-19, dengan satu kes pulih dan satu kematian dilaporkan. – 23 Mac 2020 (The Malaysian Insigh