t>

Breaking News

Senarai Kes Digugurkan Dibawah Kerajaan Pakatan Harapan.

SEMASA | Pakatan Harapan dah jatuh. Walaupun kehidupan berjalan seperti biasa tetapi ramai pemerhati menjangkakan Perikatan Nasional akan mengugurkan beberapa kes pendakwaan yang membabitkan pemimpin kanan parti yang membentuk blok kerajaan.

Sementara kita meneliti perkembangan semasa itu, ramai juga pihak yang mengkritik Pakatan Harapan kerana mengugurkan kes-kes dianggap berprofil tinggi semasa mereka menjadi kerajaan.

Berikut adalah senarai kes yang dianggap kontroversi sepanjang Pakatan Harapan menjadi kerajaan;

1. Lim Guan Eng, tukar status tanah dan beli banglo.


Didakwa : seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Ringkasan : Lim didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai Ketua Menteri pada Julai 2014, semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri. Lim menukarkan status tanah zon pertanian kepada zon perumahan, yang terletak di barat Pulau Pinang bagi syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. Ini adalah tuduhan pertama.

Tuduhan kedua membabitkan tindakan Lim membeli sebidang tanah dan banglo yang terletak di George Town dari Phang Li Koon, sebanyak RM2.8 juta, dibawah harga pasaran pada Oktober 2015. Phang ialah pemilik Magnificent Emblem. Banglo itu bernilai RM4.27 mengikut harga pasaran (ketika itu).

Untuk kedua-dua pertuduhan, Lim mengaku tidak bersalah.

Selepas Pakatan memenangi pilihanraya umum, dan melantik Tommy sebagai Peguam Negara, ia juga menjadi isu kerana Tommy adalah peguam kes Lim Guan Eng.

Dan pada 3 September 2018, semua pertuduhan ke atas Lim digugurkan atas alasan : Permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.


Respon SPRM pada hari yang sama : 
SPRM amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang membebaskan Lim daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.


2. Thomas Su Keong Siong, Ahli Parlimen Kampar anjurkan perhimpunan.



Didakwa : Seksyek 9 (1), Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ringkasan : Pada Mei 2013, Thomas Su dianggap menganjurkan ceramah di Wisma Chin Woo, Ipoh namun tidak memaklumkan kepada pihak polis 10 hari sebelum mengadakan ceramah.

Pada 2014, pasukan pembelaan telah membuat hujah dan berkata permohonan 10 hari sebelum ceramah adalah tidak masuk akal dan tidak berpelembagaan dan Thomas Su dibebaskan tanpa dilepaskan mahkamah seksyen, namun pada 2016, kes itu diteruskan kerana keputusan berubah di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pada Julai 2018, kes terhadap Thomas Su digugurkan selepas hakim menerima representasi dari Tommy untuk menarik balik kes.

3. Pengguguran kes LTTE - P.Gunasekaran dan G. Saminathan.


Didakwa : Seksyen 130j Kanun Keseksaan (sokongan kepada kumpulan pengganas).

Ringkasan : Penganjuran Hari Mengenang Pejuang LTTE di Melaka pada november 2018 dihadiri oleh dua ADUN Melaka, Gunasekaran dan Saminathan. Kedua-dua mereka bersama 10 yang lain kemudiannya didakwa kerana menyokong kumpulan pengganas. Terdapat pertuduhan tambahan terhadap Saminathan, di mana memiliki barang berkaitan LTTE.

Beberapa hari sebelum Pakatan Harapan jatuh, Peguam Negara Tommy Thomas (kini adalah bekas) telah mengugurkan kesemua kes pendakwaan terhadap 12 suspek menyokong LTTE.

Hujah penuh Tommy boleh dibaca disini.

Tindakan Tommy itu kemudiannya membuatkan kerajaan dikecam lebih teruk, dan menjadi antara punca sokongan kepada Perikatan Nasional bertambah. 

4.  Kes Hasan Karim (MP Pasir Gudang), mengkritik Sultan Selangor.



Didakwa : Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Ringkasan : Hasan Karim telah mengkritik Sultan Selangor dalam tiga kicauan berasingan pada Ogos 2014. Kicauan itu dianggap berbaur hasutan dan pada 2015, siasatan dibuka dan pendakwaan dijalankan. Kicauan itu adalah mengkritik proses perlantikan Menteri Besar Selangor ketika itu (Langkah Kajang).

Pada Julai 2018, Mahkamah Seksyen Shah Alam bersetuju untuk membebaskan tanpa melepaskan selepas peguam Hasan Karim menghantar surat reprensentasi kepada Peguam Negara sebulan sebelum perbicaraan bersambung. Surat itu diterima dan mahkamah kemudiannya menutup kes.

Bagaimanapun pasukan pembelaan Hasan tidak berpuas hati dengan keputusan dibebaskan tanpa dilepaskan, sebaliknya mahukan keputusan bebas sepenuhnya, pada Ogos 2018, peguam Hasan membuat rayuan dan Mei 2019, Hasan akhirnya dibebaskan sepenuhnya dari sabitan. Hasan memberikan alasan : mahkamah rendah melakukan kesalahan kerana membebaskan tanpa melepaskan kesnya sebelum ini.

5. Kenyataan Sivarasa semasa berdemo dan menyebarkan poster palsu Najib Razak.

  Didakwa : Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (dua pertuduhan).


Ringkasan : Semasa berdemo di Perhimpunan Kita Lawan pada 7 Mac 2015, Sivarasa dikatakan telah memberikan pendapat mengenai badan kehakiman berikutan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat II.
Sivarasa dipetik sebagai berkata : Badan kehakiman telah digunakan oleh Umno untuk mensabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Sivarasa didakwa kerana
memuat naik muka hadapan palsu majalah Time yang memaparkan wajah Najib sebagai cover utama di Facebook dengan menampilkan perkataan ‘No 2 on the most corrupt list’ (No 2 dalam senarai paling rasuah).

Sebagai rekod, selepas hantaran itu disahkan palsu, Sivarasa telah memadamkan gambar itu dari akaun Facebooknya. 

Pada 28 Jun 2018, Sivarasa bebas dari pertuduhan Akta Komunikasi atas alasan : Hakim Zaman Mohd Noor melepas dan membebaskan Sivarasa selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan menarik balik dua tuduhan yang dikenakan terhadapnya. 

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria, berkata OKS mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 20 Jun lalu untuk menggugurkan semua tuduhan terhadap OKS.

Pada 30 Julai, Sivarasa sekali lagi dibebaskan dari pertuduhan pertama, Akta Hasutan.

Alasan : Pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

6. Kicauan Zunar di Twitter. 


Didakwa : Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (9 pertuduhan).

RingkasanZunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque didakwa atas sembilan pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial Twitter @zunarkartunis di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, pada 3 petang, 10 Februari 2015.

Pada 30 Julai, Zunar, dibebaskan dari pertuduhan Akta Hasutan selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan.
 
7. Surendran : Menerbitkan artikel yang mengkritik penghakiman sodomi II. 


Didakwa : Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948

RingkasanSurendran, dituduh menerbitkan artikel bertajuk “Press Release: Court of Appeal's Fitnah 2, Written Judgement is Flawed, Defensive and Insupportable” di pejabat Malaysiakini.com, No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama, Brickfields di sini pada 3.40 petang, 18 April 2014.

Pada 30 Julai, Surendran, bersama-sama Sivarasa dan Zunar, dibebaskan dari pertuduhan Akta Hasutan selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan. Kesemua kes dibicarakan secara berasingan. 

8. Kes Rafizi Ramli dan Tabung Haji


DidakwaSeksyen 500 Kanun Keseksaan

Ringkasan : Rafizi didakwa mencemarkan reputasi Tabung Haji selepas menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016.

Tabung Haji beranggapan penulisan itu mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Pertamanya : Rafizi mendakwa rizab TH mengalami defisit selama 2 tahun berturut-turut menyebabkan TH tidak mampu membayar semula pendeposit, jika mereka semua mahu mengeluarkan simpanan serentak.

Kedua : Rafizi mendakwa keuntungan RM3.53 bilion diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak mengambil kira kerugian akibat kejatuhan saham dan bon sekuriti TH dalam pelaburannya.

Ketiga : Rafizi mendakwa maklumat dalam pertuduhan itu berkaitan dakwaan Rafizi yang TH membayar bonus melebihi pendapatannya pada 2012 dan 2014.


Pasukan pembelaan Rafizi telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula pertuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap TH dan menimbangkan penarikan balik pertuduhan itu. Kemudiannya pada 27 Feb 2019, mahkamah membebaskan Rafizi dari pertuduhan menfitnah Tabung Haji.
 
Alasan : Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli bahawa Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi yang dikemukakan oleh Rafizi. Nadia berkata, Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi Rafizi pada 24 Januari lalu.

Oleh itu katanya, pihak pendakwaan mendapat arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap Rafizi, 42.


Berdasarkan keputusan di atas, kebanyakan kes yang ditarik balik adalah kes hasutan, berhimpun dan dianggap menfitnah satu pihak yang lain. Bagi pentadbiran Pakatan Harapan ketika itu, pengguguran kes Akta Hasutan adalah berupa memenuhi Manifesto Pilihanraya namun terdapat pendakwaan baru dibawah Akta Hasutan meskipun manifesto PH menggariskan janji mahu menghapuskan Akta Hasutan. 

Tindakan itu kemudiannya dikritik masyarakat sivil dan peguam yang pro kepada Pakatan Harapan kerana PH uturn dengan janjinya.

Sementara itu, terdapat satu kes membabitkan salahguna kuasa manakala satu kes lain adalah membabitkan sokongan kepada kumpulan pengganas.  

Bagaimanapun, bagi pemerhati dan masyarakat awam, mereka beranggapan ia merupakan campurtangan politik ke atas perbicaraan mahkamah. - 5 Mac 2020.