t>

Breaking News

Kronologi Kisah Ustaz Ebit Lew Membantu Keluarga Pak Ishak Berpindah. Part 1.

Sosmed | Pada 20 April, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew telah membuat kenyataan di akaun Facebooknya mengenai kesusahan satu keluarga di Kedah.

Post itu adalah :
"Menangis akhirnya sampai Alor Setar. Dah tak boleh tahan hati ini. Berbelas anak-anak duduk dengan atok strok. Bau dan kotor sangat. Anak-anak tak sekolah. Orang Malaysia. Tengok ic semua tadi. Orang sini juga. Sedih hati ini. Tolonglah ya Allah. Bertahun dah begini, hari ini saya dah tak boleh tahan menangis jer.

  
Adik ni kata dia nak sekolah. Dia nak solat. Kadang-kadang solat dekat rumah kawan. Menangis tadi adik ni. Saya tanya pakcik takde orang nak bawa pindah ke. Ramai ada datang cakap nak tolong. Belum rezeki kami. Takperlah ustaz. Sedih mereka berlari kenal saya..


Saya bawa pakcik pindah yer. Nak. Anak-anak bersorak nak pindah. Ustaz, boleh tak ustaz ajar kami jadi baik. Sedih sangat rasa. Boleh ustaz jadi ayah angkat kita orang. Lagi sedih dengar.




Saya dah call 4 rumah dan pergi tengok. Tapi ramai risau dengar keluarga tu besar. Yerlah saya faham. Hati saya sedih sangat.

Saya tengah pusing cari rumah untuk mereka di Alor Setar ini. Siapa ada rumah nak bagi sewa saya akan bayarkan sewa tu selagi saya hidup insyaAllah dan selagi mereka sesuai disitu. Bantu saya tengah menangis ni. Saya takkan balik selagi tak bawa mereka pindah ke rumah baru. Pohon doakan dari jauh.

Ya Allah maafkanlah diriku ini. Jangan salahkan sesiapa. Saya yang salah. Ceramah sana sini baru hari ini saya tahu. Maafkan saya pakcik. Maafkan saya adik-adik semua
," katanya dalam kenyataan itu.


Post itu kemudiannya tular dan menjadi kecoh di sosial media. Rata-rata netizens berasa kasihan dengan keluarga itu. Sesetengahnya pula mula mempersoalkan peranan JKM, agensi zakat dan ketua kampung yang menurut mereka mengabaikan masalah orang susah di kawasan tersebut.

Pada hari yang sama juga, Ustaz Ebit Lew berjaya mendapatkan rumah sewa yang dicarinya untuk keluarga Pak Aq.

Beliau berkata, "Setelah saya menangis. Air mata rasa bahagia sangat... Setelah berbelas tahun mereka hidup begini. Tinggal di tempat begini. Saya pusing tanya dekat 4 rumah walau hujan basah.. Akhirnya Allah izinkan saya dapat rumah sewa rm800 sebulan. Besar rumah selesa. InsyaAllah saya akan bayarkan sampai bila-bila selagi mampu. Cuma tadi repair elektrik dan air sampai dekat isya. Saya call ambulans swasta bawa pakcik tadi ke hospital untuk dapatkan rawatan.


Masa masuk rumah adik-adik ni berlari cop bilik. Yeye pindah rumah. Yeye pindah rumah. Betul ke ustaz pindah rumah. Besarnya rumah ni ustaz. Selesanya. Betul ke ustaz nak bayar? Yer adik. Allah gerakkan semua ni.

Masa dalam kereta adik ni kata ustaz. Dia menangis. Nak qada solat semua. Sedih pula rasanya. Makin hiba bila diaorang ulang. Ustaz jangan lupakan kita orang tau.

 


Esok saya dah upah orang elektrik dan orang paip repair air. Tengok wirering. Lepas tu nak cari perabot baru dan tilam. Serta nak beli baju-baju dan selipar. Adik ni ada tiada selipar pun. Berebut makan kfc. Semua suka kentang putar. Kena beli set satu-satu lain kali.

Pakcik yang stroke tadi sebelum naik ambulans pesan pada saya. Setelah saya nasihatkannya bahawa anak ini esok bakal jadi pemimpin. Ustaz kalau boleh tolong hantar anak saya belajar yer
.




Ya Allah. Hati ini sedih sayu. Saya cuma datang untuk membantu. Tak sanggup nak tinggal manusia tidur ditepi sampah. Maaf saya benar-benar terkejut sangat. Saya menangis dari tadi. Malam ni baru saya boleh senyum. Maafkan saya jika ada sesiapa hadir tadi saya tak senyum. Saya sayang semua. Kita semua sebuah keluarga. Janganlah salahkan sesiapa
," jelasnya dalam kenyataan itu.



Bagaimanapun sikap sesetengah netizens yang menyalahkan pihak tertentu di post itu menimbulkan perasaan tidak senang hati dikalangan penduduk kampung yang beranggapan mereka telah difitnah.

Antara yang tampil memberikan kenyataan ialah wakil Masjid Al-Irfan Derga.

"Assalamualaikum

Mengenai post oleh Ustaz Ebit Lew berkenaan lawatan beliau ke sebuah keluarga fakir miskin dalam kariah Masjid Al-Irfan Derga sehingga menimbulkan persoalan dan fitnah bahawa pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat - JKM. termasuk Masjid Al-Irfan Derga mengabaikan keluarga ini.

Disini Masjid Al-Irfan Derga ingin memberi beberapa penjelasan.

1. Keluarga ini menerima bantuan bulanan berupa wang ringgit oleh pihak LZNK, JKM termasuk dari Masjid Al-Irfan Derga sendiri, jadi kenyataan bahawa mereka diabaikan oleh pihak2 berkenaan adalah tidak benar.

2. Keluarga ini juga turut ditawarkan rumah Asnaf yang lebih selesa oleh pihak LZNK namun ditolak oleh keluarga ini atas alasan yang tidak diketahui.

3. Keluarga ini sudah mendiami kawasan tersebut sejak sekian lama, walau bagaimanapun tanah yang didiami itu bukan milik mereka. Jadi ini sekaligus menyukarkan pihak LZNK dan yang berkenaan untuk membina rumah bagi keluarga ini diatas tanah tersebut.

4. Bahkan semasa PKP ini, keluarga ini turut menerima bantuan bekalan makanan dari pihak Masjid Al-Irfan Derga yang disampaikan melalui Bendahari Masjid, Tuan Haji Osman yang mewakili Tuan Imam, Ustaz Abdul Hadi.

5. Diharap agar masyarakat terutamanya tidak sewenang-wenangnya menuduh atau memberi tohmahan bahawa keluarga ini diabaikan oleh pihak yang berwajib.

6. Usaha Ustaz Ebit dalam membantu mereka yang memerlukan merupakan satu usaha yang mulia dan terpuji, walau bagaimanapun semoga Ustaz dapat berhubung dengan pihak yang berwajib untuk mendapatkan info mengenai mereka-mereka yang memerlukan ini.

Mohon disebarkan untuk pengetahuan umum
," tulis kenyataan itu pada 21 April 2020.


Hal ini juga diperjelaskan oleh wakil agensi Zakat Kedah dalam satu kenyataan di Facebook Zakaria Othman.


"PAK ISHAK ADALAH AYAH KITA SEMUA

Susulan isu tular mengenai seorang penerima bantuan zakat bernama Ishak bin Haji Darus, saya mewakili pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Ust Ebit Lew dan pasukan serta semua masyarakat awam di atas keprihatinan dalam isu ini.

Kesan daripada isu yang tular ini, terlalu ramai netizen yang mula mengecam dengan kata-kata kesat terhadap semua pihak yang terlibat terutamanya Lembaga Zakat Negeri Kedah seolah-olah semua pihak ini tidak pernah ada sekelumit usaha untuk membantu Pak Ishak dan keluarganya walaupun perkara ini tidak disebut oleh Al-Fadhil Ust Ebit Lew dalam posting beliau.

Untuk makluman semua, Pak Ishak yang tinggal di Lorong Gedebang, Mukim Derga Alor Setar adalah merupakan penerima bantuan zakat bermula sejak tahun 2007 lagi. Berdasarkan rekod dan siasatan kami, antara bantuan yang pernah diterima oleh Pak Ishak sekeluarga daripada pihak LZNK sahaja antaranya adalah Bantuan Makanan Fakir/Miskin Bulanan, Bantuan Kewangan Fakir/Miskin Bulanan, Bantuan Hari Raya Aidilfitri, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Tahunan Sekaligus dan Bantuan Jaya Diri.

Berdasarkan siasatan kami juga, Pak Ishak kini mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan mempunyai 3 orang anak lelaki dan 7 orang anak perempuan yang masing-masing berumur 33 tahun sehingga 17 tahun. Ada di antara anak Pak Ishak ini yang telah berkahwin dan mempunyai anak. 8 daripada 10 orang anaknya tersebut kini tinggal bersama-sama dengan Pak Ishak di rumah tersebut bersama-sama 10 orang cucu yang lain menjadikan keseluruhan isi rumah yang tinggal di sana seramai 20 orang.

Sesungguhnya isu dan kisah Pak Ishak ini amat dekat di hati kami sebagai seorang ayah yang kami sayang. Usaha memujuk Pak Ishak sekeluarga untuk berpindah dari rumah yang tidak terurus di Lorong Gedebang tersebut dan tinggal di rumah baharu telah bermula sejak 12 tahun yang lalu dan telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk jiran-jiran di kampung tersebut, pihak masjid, pihak JKM dan juga ditambah dengan tawaran dua buah rumah daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah, namun bermacam alasan yang diberikan beliau untuk mengelak daripada berpindah daripada rumah yang dibina di atas tanah orang tersebut.

Pak Ishak juga telah ditawarkan rumah KEDA di Pokok Sena, namun tetap ditolak oleh beliau sekeluarga atas pelbagai alasan.

Kisah Pak Ishak ini telah berlanjutan dan berulang kali diulang siar di paparan media bagi meraih simpati dan bantuan orang ramai.

Rundingan dan tawaran juga telah dibuat kepada beliau oleh Tuan Tanah tempat tapak rumah tersebut dibina sehingga akhirnya satu salinan Penghakiman dari Mahkamah Majistret telah dikeluarkan bertarikh 5 Februari 2020 yang mengarahkan Pak Ishak sekeluarga berpindah, namun tetap menemui titik gagal sejak sekian lama.

Selain daripada agensi kerajaan, badan NGO serta penduduk kampung juga sentiasa menghulurkan bantuan kepada keluarga ini.

Kerana itu saya amat menghargai usaha Al-Fadhil Ust Ebit Lew dan pasukannya di atas kemahiran mereka yang berjaya memujuk keluarga Pak Ishak keluar daripada kediaman tersebut. Sesungguhnya niat murni ini amat disanjung dalam membantu pihak LZNK menyantuni lebih 15,773 orang asnaf yang ada di negeri Kedah (sehingga 21 April 2020) termasuk Pak Ishak dan masa depan anak-anak dan cucu-cucu beliau yang masih tidak mengerti apa-apa.

Namun begitu, dalam kita ghairah memberi komen, cacian dan cercaan kepada semua pihak, alangkah baiknya sekiranya kita menahan jari jemari kita dengan menyiasat dan bertabayyun terlebih dahulu daripada pihak-pihak yang terlibat. Sesungguhnya institusi agama ini tidak akan berdiri teguh jika bukan dengan sokongan semua saudara-saudara Islam kita yang sama-sama berganding bahu menunjukkan keprihatinan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Terima kasih juga kepada AJK Masjid Al Irfan Derga, pengurusan kampung dan jiran tetangga di Kg Derga, kerana sejak dahulu lagi mereka mencari jalan serta memberi sumbangan kepada keluarga ini.

Saya mewakili pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah sentiasa terbuka untuk menerima sebarang maklumat yang membina demi menyampaikan amanah para pembayar zakat untuk manfaat ummah di negeri Kedah keseluruhannya
," jelas Zakat Kedah dalam kenyataan itu.


Maka isu yang menjadi kecoh sejak 20 April itu kemudiannya kembali tenang. Namun, pada 22 April, lain pula ceritanya. 


Bersambung di bahagian kedua.