t>

Breaking News

Tips Elak Anak Tertinggal Dalam Kereta.

TIPS | Satu lagi kematian yang melibatkan kanak-kanak tertinggal dalam kereta berlaku di negara ini. Insiden malang itu berlaku pada 14 Ogos di Sungai Petani, Kedah.

Memetik laporan Harian Metro;

- Kanak-kanak itu berusia 4 tahun.

- Ditinggalkan dalam kenderaan hampir 10 jam dengan tingkap bertutup dan enjin dimatikan.

- Pada awal pagi, bapa kanak-kanak itu yang berusia 30 an telah menghantar kakak mangsa ke sekolah rendah.

- Kanak-kanak itu sepatutnya dihantar ke rumah neneknya.

- Bagaimanapun bapa mangsa terlupa anaknya tertidur di belakang dan lalu ke tempat kerja.

Berita ini telah menyebabkan ramai netizens mengecam bapa mangsa tetapi itu bagaimanapun tidak dapat mengubah apa-apa. Apa yang telah terjadi telah terjadi dan tidaklah dapat kita berpatah balik.

Mengecam bapanya juga tidak dapat kembalikan anaknya yang hilang. Bahkan untuk seumur hidupnya, lelaki itu akan trauma dan sudah tentu menjejaskan emosinya. Maka, tak guna juga jika kita mengecam kerana lelaki itu turut sedih dengan kematian anaknya dengan cara sebegitu. 

Bagaimanapun dengan mengambil iktibar akan insiden malang itu, ini ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan sebagai langkah berjaga-jaga supaya tak terjadi insiden malang itu dalam keluarga kita;

1. Jangan sesekali meletakkan kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang. Kesemua kematian yang melibatkan kanak-kanak tertinggal dalam kereta kerana mereka diletakkan atas kerusi ataupun dibaringkan di tempat duduk belakang.

2. Sentiasa memeriksa ruang dalam kereta sebelum mengunci kenderaan. Jadikan ia sebagai amalan ataupun tabiat.

3. Jika perlu letakkan anak di bahagian belakang, pastikan anda buat tanda seperti letakkan telefon anda dibelakang, letakkan barang-barang penting yang sangat anda perlukan untuk urusan kerja di tempat duduk belakang. Ini kerana anda akan ke tempat duduk belakang untuk mengambil barang milik anda. 

4. Buat alarm di HP anda. Setiap 10 minit berbunyi dan pastikan HP itu bersama anak anda yang berada di bahagian belakang.

5. Beritahu pasangan ataupun ahli keluarga anda supaya menelefon anda semula bagi mengingatkan tentang anak yang anda bawa dalam kereta. Pastikan juga anda memaklumkan destinasi anda. Ini kerana, jika anda gagal dihubungi, pasangan boleh ke tempat tersebut dan melakukan semakan.

6. Gunakan aplikasi di telefon untuk ingatkan anda tentang anak anda. Seperti reminder dan alarm. 

Anak adalah anugerah tak ternilai buat ibu bapa. Dan tiada mana-mana ibu bapa yang mahukan anaknya mati dalam kereta kerana kecuaian mereka. Mungkin kerana sibuk, mungkin kerana penat dan mungkin kerana terlalu banyak kerja dan perkara perlu difikirkan maka terjadilah insiden-insiden seperti ini.

Oleh kerana itu tak ada salahnya jika kita menyedari kelemahan kita lalu membuat beberapa perkara untuk mengelakkan diri kita dari melakukan perkara yang sama. Semoga tips ini dapat membantu serba sedikit untuk mengingatkan diri kita yang seringkali lalai ini. - 16 Ogos 2020.