t>

Breaking News

Hukum Bertabarruk Dengan Peninggalan Nabi SAW.

SEMASA | Pada 28 Oktober 2020, Dr. MAZA berkongsikan keputusan mesyuarat JK Perlis yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober 2016 dan mengeluarkan fatwa mengenai hukum bertabarruk dengan peninggalan Nabi SAW.

 Keputusan fatwa itu mengatakan;

- dibolehkan bertabarruk dengan peninggalan Nabi dengan syarat menyakini keberkatan semuanya datang dari Allah.

- dilarang menjadikan bertabarruk sebagai satu bentuk ibadah kerana ia perbuatan syirik.

- namun para ulama yang sering melakukan kajian berpendapat tiada lagi barang peninggalan Nabi SAW yang boleh disabitkan dengan bukti sahih.

- mengadakan logo, replika, lambang atas tujuan mengambil keberkatan dilarang.

- ia akan membuka ruang kepada amalan berhala.

- mengadakan logo tanpa tujuan bertabarruk dibolehkan.

Meskipun tidak memetik sebarang nama tetapi ramai percaya tindakan menyiarkan semula keputusan fatwa itu bertujuan menegur pihak yang menggunakan logo capal atas tujuan mengembirakan Nabi.

Kenyataan lengkap seperti berikut;

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA
NEGERI PERLIS KALI KE-23/2016
TARIKH : 3-4 Oktober 2016 / 2-3 Muharam 1438H

HUKUM BETABARRUK DENGAN PENINGGALAN NABI SAW


Pada umumnya bertabarruk (mengambil keberkatan) dengan peninggalan Nabi SAW samada jasad Baginda atau barang peninggalan yang disentuh oleh jasad Baginda, adalah dibolehkan dengan syarat menyakini bahawasanya keberkatan itu semuanya datang dari Allah SWT bukan daripada barang tersebut. Namun, keterlaluan (ghuluw) sehingga menjadikan tabarruk upacara ibadah yang diberikan tumpuan adalah dilarang. Atas alasan inilah Saidina Umar bin al-Khattab telah memerintahkan agar dihapuskan pokok yang disangka menjadi tempat Bai'ah al-Ridhwan kerana dibimbangi berlaku syirik.

Walaupun begitu, para ulama semasa telah membuat kajian dan mentarjihkan bahawa tiada lagi sebarang peninggalan dari jasad atau barangan kegunaan Nabi yang boleh disabitkan kewujudannya dengan bukti yang sahih.

Sebaliknya perbuatan mengadakan logo, replika, lambang, atau seumpamanya yang dikatakan menyerupai barangan atau kesan peninggalan Nabi lalu mengambil keberkatan daripadanya adalah perkara yang diadakan dalam agama yang dilarang. Jika hal ini dibiarkan maka berbagai-bagai replika, rajah, ilustrasi dan tangkal akan muncul seperti replika Kaabah, capal, unta, tapak kaki dan seumpamanya dengan tujuan mengambil berkat. Ini akan membuka ruang untuk manusia membina berhala atas alasan mengambil keberkatan.

Manakala sekadar mengadakan logo yang tidak bercanggah dengan syariat Islam tanpa tujuan tabarruk seperti lambang bulan, bintang, bulan sabit, Kaabah, pokok kurma , pedang dan seumpamanya adalah dibolehkan.

Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Bil. 5/2016 pada 8 November 2016 bersamaan 8 Safar 1438H