t>

Breaking News

Utusan Padam Berita Macau Scam Sogok Pelbagai Pihak RM4 Juta Sebulan.

SEMASA | Sebaik sahaja pihak polis dilaporkan berkata Addy Kanna dan Alvin Goh Leong Yeong bukanlah pihak yang terbabit dalam Macau Scam sebaliknya mereka berdua ialah pihak berperanan sebagai koordinator, dengan lajunya pihak netizens melakukan siasatan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, yang dipetik sebagai berkata siasatan mendapati, dua lelaki terbabit iaitu Addy Kanna dan seorang lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong@Alvin berperanan sebagai koordinator atau ejen untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan yang dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet.

"Pusat panggilan yang beroperasi di unit kediaman mewah dan pejabat itu menjalankan operasi harian dengan menyasarkan rakyat di China sebagai mangsa aktiviti perjudian, penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) dan penipuan pembelian barang serta tuntutan barang seperti scam," katanya kepada wakil media itu.
 
Huzir turut dipetik berkata, dakwaan pihak tertentu mengaitkan kegiatan penipuan dalam talian di negara ini dengan dua individu terbabit adalah tidak tepat.
 
"Dakwaan pihak tertentu yang menganggap kegiatan penipuan dalam talian di negara ini membabitkan dua individu itu adalah tidak tepat," katanya lanjut.
 
Kenyataan oleh Datuk Huzir itu kemudiannya dibalas secara meluas oleh netizens yang mengikuti perkembangan Macau Scam. Ramai dikalangan mereka keliru kerana jika bukan Macau Scam kenapa setelah hampir 3 minggu pihak media memetik Macau Scam ia tidak dinafikan atau dibetulkan oleh pihak berkuasa, jika terma Macau Scam itu merupakan kenyataan tidak tepat.
 
Selain itu turut timbul persoalan kenapakah Utusan memadamkan berita yang diterbitkan semalam.
 
Semalam portal Utusan melaporkan dalang Macau Scam membelanjakan sehingga RM4 juta sebulan untuk menutup mulut pihak-pihak lain dari membocorkan maklumat dan membongkarkan kegiatan penipuan Macau Scam. 
 
Bagaimanapun berita tersebut tidak lagi dapat diakses oleh netizens pada hari ini. Nasib baik berita yang sama turut disalin oleh Ismaweb dan dilaporkan oleh portal tersebut.
 
 
Berikut adalah berita yang dipadamkan;
 
Suspek kes Macau Scam dan sindiket perjudian dalam talian didakwa ‘membelanjakan’ antara RM2 juta hingga RM4 juta sebulan untuk pelbagai pihak menutup jenayahnya, lapor Utusan Malaysia.

Goh Leong Yeong atau popular dipanggil Alvin – yang juga menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu – didakwa berbuat demikian bagi ‘menghidupkan’ aktiviti jenayahnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia bahawa dana yang diterima dari Macau Scam dan aktiviti perjudian dalam talian telah dibahagikan di antara pelbagai pihak yang berpotensi untuk ‘meniup wisel’ berhubung kegiatan haram yang dikatakan telah bermula sejak lima tahun lalu.

Katanya lagi, siasatan mendapati hampir 100 orang mungkin menerima wang dari Alvin – yang kini diburu oleh polis selepas melarikan diri dari perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Oktober lepas.
 
“Ini termasuk individu berpengaruh, pegawai dan polis yang telah ditahan atau disiasat oleh SPRM. “Wang itu ‘dibayar’ untuk melindungi jenayah Macau Scam dan perjudian dalam talian serta memberikan maklumat jika pihak berkuasa merancang serbuan,” kata sumber itu.

Sumber berkata, agensinya masih menyiasat jenayah yang didakwa dilakukan oleh Alvin dan ketua sindiket lain.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Goh dikehendaki bersabit siasatan membabitkan tiga kes mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka.

Suspek telah melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan SPRM kerana terbabit dalam kes Macau Scam baru-baru ini.

Suspek dilihat menaiki kenderaan jenis Vellfire bersama peguamnya dan dua pengawal peribadinya. Bagaimanapun setibanya di pagar utama bangunan berkenaan, tangkapan semula terhadap suspek oleh pihak polis bagaimanapun gagal selepas mendapati suspek tiada dalam kenderaan berkenaan.

Pemeriksaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) mendapati suspek telah bertindak memanjat pagar untuk meloloskan diri dibantu dengan dua pengawal peribadinya sebelum menaiki sebuah lagi kenderaan yang menunggunya di luar pagar.
- 20 Oktober 2020.
 
Rujukan;
 
 
 
https://www.sinarharian.com.my/article/106121/BERITA/Jenayah/Addy-Kanna-Leong-Yeong-tidak-terlibat-Macau-Scam-PDRM