t>

Breaking News

Simbol Capal Cetuskan Polemik Di Sosial Media.

VIRAL | Warganet (khususnya muslim) dilihat bergaduh sesama sendiri di sosmed mengenai simbol capal. Lebih tepat, ia merujuk kepada logo syarikat The Capal. Syarikat tersebut menggunakan logo berlambangkan capal yang menurut mereka diilhamkan dari ukiran capal Rasulullah saw.

Menurut The Capal lagi, tujuan mereka menggunakan lambang capal di pelbagai tempat yang mudah dilihat adalah untuk memudahkan hati mengingati Baginda SAW dan lidah si pelihat itu akan basah dengan selawat.

Syarikat itu turut menggariskan misi mereka adalah untuk mengembirakan Nabi SAW.

Penggunaan simbol capal ini boleh dianggap sama seperti simbol-simbol lainnya pada asasnya. Bagaimanapun terdapat perdebatan sehingga ada yang bertanya, bolehkah ianya dibawa masuk ke dalam tandas.


Malah ada juga yang bergaduh dan mempertahankan simbol capal itu adalah sama seperti yang digunakan oleh Nabi SAW. Sebagai rekod, terdapat beberapa ukiran capal berbeza yang didakwa merujuk kepada capal Nabi SAW.

Hal itu juga menimbulkan polemik dikalangan pengikut. Jika diperhatikan para pengkritik tidak mempersoalkan simbol atau logo itu sendiri sebaliknya mempersoalkan adakah patut ia dikaitkan dengan Nabi dan Islam.


Kerana tindakan itu berisiko mendorong kepada amalan pemujaan. Sedangkan Islam menolak sebarang bentuk pemujaan ke atas apa-apa lambang, simbol dan patung berhala.

Bagi penyokong pula, mereka beranggapan pihak yang mempersoalkan simbol capal adalah kumpulan wahabi dan tidak memahami bahawa tindakan menggunakan logo capal adalah bermotifkan untuk mengingati Nabi.

Malah, ada sesetengah pihak melontarkan persoalan, kenapa jenama antarabangsa yang dibuat oleh syarikat non muslim boleh menjual topi mereka dengan harga mahal tetapi apabila ianya dilakukan oleh syarikat muslim maka ramai la yang sibuk nak mengkritik.

Sebenarnya, terdapat salah faham disini. Bukan harga yang jadi persoalan utama meskipun harganya turut menjadi bahan sindiran netizens.

Tetapi perkara paling utama ialah, tujuan penggunaan simbol capal. Jika ianya dikomersialkan sebagai sebuah jenama, tidak salah. Logonya cantik dan ada potensi untuk pergi jauh.

Namun jika ia pasarkan atau disensasikan dengan hujah kononnya menggunakan simbol capal tanda sayang kepada Nabi, itu sudah tentunya tidak tepat. Kita tak perlu beli apa-apa untuk menunjukkan kita sayang kepada Nabi. Kita boleh berselawat dan cintakan Nabi secara percuma tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa produk, simbol dan logo. - 30 Oktober 2020.