t>

Breaking News

Logo Capal, 3 Soal Jawab Yang Umat Islam Perlu Faham.

Oleh : Muhammad Izzat Al-Kutawi

Selepas menulis tentang capal, saya mendapati ada beberapa syubhah yang mereka guna untuk mempertahankan idea dan kreativiti mereka. Berikut saya nyatakan syubhah bersama jawapan:

Pertama, capal hanyalah logo seperti lakaran Kaabah, kubah hijau, dan sebagainya. Atau, ia seperti logo Nike dan Adidas yang digunakan tanpa sebarang tentangan.

Gambar Sekadar Hiasan

Jawapan : masalah capal ialah kerana dianggap kudus dan mulia bi-dhati-hi. Dengan kata lain, semata-mata lakaran itu mempunyai keberkatan, fadilat, dan khasiat.

Saya tidak tahu ada orang menganggap lukisan Kaabah dan kubah hijau mempunyai keberkatan khusus seperti lakaran capal, apalagi logo Nike dan Adidas. Kalau ada, saya akan menentang sama seperti menentang lakaran capal.

Tentang fadilat lakaran capal ini ada kitab khas mengenainya. Ia disebar dan dijaja merata-rata. Ia dikaitkan dengan cinta Nabi SAW. Ia didakwa menjadi asbab orang berselawat. Ia dimuliakan sampai tidak boleh dibawa masuk ke dalam tandas.

Kedua, lakaran capal tiada masalah jika dijadikan logo atau lebih tepat, perhiasan semata-mata, tanpa iktikad lain mengenainya.

Jawapan : masalahnya, logo capal ini sudah makruf dengan asal usul ia dijadikan logo. Kalau bukan kerana fadilat dan khasiat yang didakwa, tentu ia tidak menjadi trend dan fenomena seperti hari ini.

Wujudkah manusia yang tiba-tiba melukis bentuk capal seperti itu dan melekatkannya di topi, baju, dan menggantungkannya di dinding kalau bukan kerana kaitannya dengan perkara-perkara yang disebutkan tadi? Saya pasti tidak ada.

Tanda palang pun asalnya sekadar corak, tetapi kerana ia dijadikan simbol agama Kristian, dikaitkan dengan Nabi Isa, dan dipuja, umat Islam dilarang memakainya sama sekali, biarpun tanpa iktikad dan apa-apa keyakinan.

Ketiga, lakaran capal mengingatkan kita kepada Nabi SAW. Dengannya, kita akan tergerak untuk berselawat. Selain itu, lakaran capal ini menunjukkan kecintaan kepada baginda.

Jawapan : malang seribu kali malang bagi umat Islam kerana berhajat kepada lakaran capal untuk mengingati Rasulullah SAW dan berselawat, sedangkan ulama dan generasi terdahulu tidak memerlukan apa-apa lakaran untuk mengucapkan selawat dan salam ke atas baginda.

Semua ini alasan yang tidak masuk akal. Hadis tidak mahu belajar, sahih dan daif pun disamakan, orang tegur pun melenting, kemudian mengaku mahu berselawat dan cinta Nabi SAW.

Golongan Kristian mengaku cinta Nabi Isa AS. Mereka menitiskan air mata sebak apabila diceritakan tentang baginda. Golongan Syiah pun mendakwa cinta Saidina Ali RA. Mereka sampai mencederakan diri sendiri demi menyatakan cinta kepada beliau. Namun, merekalah yang menyelewengkan ajaran Nabi Isa dan Saidina Ali.

Terakhir, janganlah disebabkan kita pernah melakukan satu perkara maka kita bermati-matian mempertahankannya, sedangkan ia memang salah dan tidak berhak dibela. Di sini kita diuji, sama ada kita jujur memperjuangkan kebenaran atau sebenarnya menjaga air muka dan ego sendiri.

Wallahualam.