Penjelasan RORA Ken@pa UPSI Tegur Ustaz Ebit Lew, Rupanya Nak Kumpul Data Pelajar..
VIRAL | UPSI tidak marah malah menghargai bantuan yang diberikan, cuma sekurang-kurangnya, maklumkanlah data pelajar yang terlibat dan destinasi mereka supaya pihak pengurusan maklum andai terjadinya apa-apa, demikianlah penjelasan Ustaz Rozaimi Ramlee ataupun lebih mesra dikenali sebagai RORA ketika mengulas isu hangat yang membabitkan UPSI dan Ustaz Ebit Lew di media sosial ketika ini.
Bagaimanapun apa yang menimbulkan tanda tanya ialah, mengapakah tidak ia dilakukan secara tertutup sehingga MPP UPSI membuat kenyataan media terbuka?
Malahan tindakan meminta Ustaz Ebit Lew meminta maaf secara terbuka juga dilihat bercanggahan dengan penjelasan RORA.
Selain itu isu SOP langsung tidak disebut oleh RORA dan ditambah pula dengan ayat seperti,"kita semua pernah lapar dan susah," ini seolah-olahnya mahu menyindir pihak tertentu.
Berikut adalah kenyataan penuh RORA;
Oleh : Ustaz Rozaimi Ramlee
Saya dihubungi oleh beberapa orang rakan bertanya tentang isu Ustaz Ebit Liew dan UPSI. Oleh kerana ramai sangat yang bertanya dan tidak kurang juga yang mengecam maka saya ingin jelaskan perkara sebenarnya supaya pihak yang mengecam tidak salah faham.
Saya bertanya MPP UPSI tentang perkara ini dan juga pengurusan tertinggi UPSI. Mereka memaklumkan kepada saya perkara berikut:
1. Pihak UPSI tidak menghalang bantuan Ustaz Ebit Liew. Pihak UPSI sangat menghargainya dan berharap agar bantuan kepada pelajar dapat dilakukan demi menjaga kebajikan pelajar.
2. Perkara yang pihak pengurusan UPSI minta ialah jika ada apa-apa bantuan yang ingin dihulurkan berkaitan pengangkutan pelajar yang berada di kampus ke kampung halaman mereka biarlah dengan pengetahuan pihak pengurusan. Sekurang-kurangnya maklumkan tentang data pelajar yang terlibat, maklumat perjalanan dan destinasi tujuan. Ini penting supaya pergerakan pelajar menaiki bas itu di dalam pengetahuan pihak pengurusan kerana dibimbangi jika berlaku apa-apa kepada pelajar di dalam perjalanan pihak pengurusan akan dipertanggungjawabkan.
Pihak pengurusan hanya minta mereka dimaklumkan tentang perkara ini. Mereka tidak sesekali berniat untuk menghalang bantuan dari Ustaz Ebit Liew atau siapa sahaja.
Mudah-mudahan penjelasan ini dapat meleraikan sedikit kekeliruan. Kita semua pernah lapar dan susah. Cuma kita perlu kerjasama untuk membantu dan maklumkan maklumat penting kepada pihak yang berkenaan.
Saya juga berharap agar ustaz Ebit dan pihak lain terus membantu pelajar UPSI dan mahasiswa lain dalam menghadapi situasi sukar ini. Semoga Allah membalas usaha baik ustaz Ebit dan semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada mahasiswa kita. Moga Allah berkati kita semua. - 4 Oktober 2020.