t>

Breaking News

Kebenaran Rentas Negeri Akan Ditarikbalik Jika Rakyat Gagal Patuh SOP Kata Menteri Pertahanan.

BERITA | Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengembalikan sekatan merentas daerah dan negeri sekiranya rakyat menyalahgunakan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) sehingga menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.


Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memahami perasaan rakyat dan memberi kelonggaran untuk bergerak bebas dengan syarat mematuhi SOP seperti mengelak berkumpul beramai-ramai dalam keadaan sesak dan memakai pelitup muka.

“Kita sekarang beri kebebasan, harap rakyat jalankan tanggungjawab mematuhi SOP dan jika merasakan perlu kembali kepada keadaan asal, saya tak menolak kemungkinan perkara itu boleh berlaku,” katanya dalam sidang media PKP harian di Kementerian Pertahanan hari ini.

Ismail Sabri mengakui maklum tentang keadaan pengunjung di Zoo Melaka menonton persembahan dalam keadaan begitu sesak tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka selain membawa sekali kanak-kanak menambah risiko penularan.

Katanya, keadasan itu merupakan salah satu contoh jelas perlanggaran SOP dilakukan oleh rakyat yang mana kelonggaran rentas daerah dan negeri disalahgunakan tanpa mempedulikan risiko penularan dalam komuniti.

Ujar beliau, walaupun setakat ini belum dibincangkan mengenai semakan semula atau menarik kembali kebenaran merentas negeri namun pihaknya menunggu pandangan dan penilaian risiko KKM.

“Kalau KKM merasakan perlu tarik balik, kita akan ikut nasihat mereka dan tarik balik kelonggaran yang diberikan itu termasuk juga insiden yang mana ramai pergi bercuti dengan kenderaan sesak di lebuh raya utara selatan menuju ke utara termasuk Langkawi yang menyaksikan kebanjiran orang ramai sehingga melanggar SOP.

“Kalau selepas dua minggu ini kes meningkat kerana pembukaan rentas negeri dan daerah akan mungkin nasihat KKM arah kembali kepada SOP asal.

“Harap rakyat memberi kerjasama mematuhi SOP sebab kita belum menang perang cegah Covid-19 sepenuhnya,”
tegasnya. - (MG) 28 Disember 2020.