Kes Ustaz Budak, Ada Mangsa Lain Yang Diugut Dedah Syed Azmi.
JENAYAH | Berikutan kes cabul yang membabitkan seorang ustaz terkenal yang berasal dari Kelantan, sosmed kini digemparkan dengan beberapa pendedahan.
Dalam perkembangan berkaitan, aktivis masyarakat Syed Azmi mendedahkan pihaknya telah didekati oleh individu yang mendakwa sebagai mangsa kepada ustaz yang didakwa itu.
Berikut apa yang ditulis oleh Syed Azmi di Facebooknya pada 21 Disember;
"Sebenarnya kes di bawah (rujuk gambar) bukan kes saya tapi saya telah di hubungi oleh 2 mangsa lain lagi hari ini yang mengatakan juga pernah mengalami gangguan sama.
Saya telah diberitahu;
- 1 mangsa telah buat laporan polis hari ini. Saya baru selesai membaca laporan polis tersebut.
- 2 keluarga mangsa lain membuat temujanji untuk bertemu dengan saya.
- 2 mangsa lain akan buat laporan polis esok dan saya telah memberitahu apa yang perlu di laporkan.
Saya menyeru pada mana-mana mangsa yang pernah mengalami insiden yang sama dengan kes di bawah, sila buat laporan polis sama ada kes lama atau baru walau di mana anda berada. Laporan anda ini akan membantu kes terkini yang melibatkan orang yang kena tuduh (OKT).
Bagi mangsa yang baru-baru ini telah membuat laporan polis seperti di dalam berita di bawah, anda bukan keseorangan dan tolong tahu kalau anda perlukan sokongan, sila mesej saya di 0196664779, Syed Azmi.
Dan anda tidak perlu malu menegakkan kebenaran kerana yang salah adalah mereka yang melakukan salah laku secara paksa. Tolong jangan salahkan diri anda.
Saya mohon sebarkan agar kita boleh cari lebih ramai mangsa.
Terus terang saya tak kenal OKT, tapi kalau satu berita begini menyebabkan banyak mangsa maju ke hadapan, tindakan OKT boleh dihentikan.
Itu merupakan hak untuk mangsa membuat laporan. Selain dari itu kita serahkan pada siasatan. Untuk mana-mana kes pun, anda mempunyai hak untuk bersuara dan serahkan siasatan pada pihak polis.
Kalah atau menang bukan tanggungjawab kita. Yang kita perlu buat adalah memberikan seberapa banyak maklumat untuk membantu siasatan kes yang melibatkan ahli perniagaan ini.
Sekian, saya mohon para pembaca yang baca sila faham bahawa kita perlu berikan hak yang sama adil dari mangsa dan yang dituduh mengemukakan hujah masing-masing," katanya dalam kenyataan itu.
Selepas Syed Azmi mendedahkan perkara itu, beliau kemudiannya membuat kenyataan susulan pada hari Rabu, 23 Disember 2020.
Dalam kenyataan itu, Syed Azmi mendakwa beliau telah didekati oleh pelajar ustaz berkenaan dan pelajar itu mendakwa ada anak murid yang diugut supaya tidak membuat laporan polis.
Berikut adalah kenyataan tersebut;
“Assalamualaikum saudara Syed Azmi. Pertama saya ingin meluahkan rasa syukur kerana adanya manusia seperti saudara Syed yang bersungguh-sungguh ingin membantu tegakkan kebenaran berkenaan kes kelucahan melampau melibatkan seorang ustaz dan pengetua kepada sebuah madrasah.
Saya merupakan seorang pelajar ustaz tersebut tetapi saya tidak menetap di asrama, saya menetap di rumah sendiri dan selalu mengikuti kuliah agama oleh ustaz tersebut. Sehari dua ni saya ada berhubung dengan dua orang yang berkaitan dengan kes salah laku seks ustaz tersebut.
Yang mana salah seorang mangsa adalah merupakan pelajar pondok berkenaan dan tinggal di asrama. Dia mengaku pernah dicabul oleh OKT. Menurutnya ramai lagi pelajar pondok berkenaan mengalami gangguan yang sama.
Bahkn ada yang dipaksa melakukan seks oral di pejabat pondok berkenaan yang mana pejabat tersebut terletak di dalam masjid di madrasah itu.
Mangsa mengaku ada pihak yang bersubahat dengan OKT dengan mengugut dan memujuk mangsa-mangsa supaya tidak membuat laporan dan melindungi OKT.
Manakala salah seorang lagi yang saya berhubung merupakan ibu kepada seorang lagi mangsa, yang mana mangsa juga adalah pelajar di pondok tersebut. Menurutnya, kejadian berlaku 2 tahun lepas yang mana OKT mengadakan ceramah di luar kawasan pondok dan mengajak mangsa mengikutinya.
Tetapi selepas selesai ceramah tersebut, OKT membawanya pulang ke rumah untuk bermalam dan tidak menghantarnya pulang ke asrama. Menurutnya pada malam itu anaknya dicabul oleh OKT di rumah OKT. Mangsa juga tidak membuat laporan kerana takut diugut oleh OKT dan orang-orang yang melindungi OKT..,” kata pelajar itu yang kemudiannya disiarkan semula oleh Syed Azmi di Facebooknya petang tadi.
Syed Azmi juga menyeru mana-mana yang pernah menjadi mangsa tampil membuat laporan dan jangan berasa takut.
Sebagai rekod, kes yang membabitkan ustaz berkenaan telah pun didakwa Isnin lepas.
Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel, Rabu lalu.Mengikut pertuduhan, suspek didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun dengan mencium pipi kiri, menggeselkan kemaluan pada peha dan memegang kemaluan mangsa dalam kejadian 1.15 pagi pada 16 Disember di sebuah bilik hotel.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli dan tertuduh diwakili peguam, Siti Atikah Abdul Halim. - 23 Disember 2020.