t>

Breaking News

Satu Lagi Mangsa Daie' Tampil Buat Laporan, 6 Aduan Terkumpul Setakat Ini.

JENAYAH | Satu lagi mangsa selebriti terkenal tampil membuat laporan polis.



Berikut adalah keterangan ringkas tentang laporan itu;

1. Laporan dibuat mangsa pada jam 3.51 petang, 30 November 2020.

2. Wanita berumur 22 tahun, pelajar di sebuah kolej tempatan mendakwa telah dicabul selebriti terkenal yang berusia 25 tahun.

3. Kejadian berlaku pada 17 Oktober 2020, jam 1 pagi di rumah suspek, Damansara Perdana. Ketika itu mangsa dipelawa oleh suspek ke rumahnya untuk belajar Ilmu Pemasaran Perniagaan.

4. Mangsa dicabul dan dipaksa melakukan seks oral.

5. Susulan dari kejadian itu, mangsa trauma dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya ( PPUM).

Dalam perkembangan terkini;

- Polis sahkan telah menerima 6 aduan terhadap suspek.

- Lima di daerah Shah Alam manakala satu di Petaling Jaya.

- Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat, berkata suspek kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membabitkan rogol, Seksyen 354 (mencabul) Seksyen 377C (seks luar tabii) dan 323 (menyebabkan kecederaan).

"Suspek akan dipohon untuk direman bagi membantu siasatan kes-kes yang baru diterima," katanya dalam satu kenyataan.

- Pihak Polis juga menyeru mangsa lain - jika ada - agar mereka tidak berasa bimbang untuk tampil membuat laporan polis.

- Di Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, memaklumkan satu daripada laporan diterima pihak berkuasa membabitkan seorang guru.

- Laporan itu dibuat di Balai Polis Damansara hari ini oleh seorang guru berusia 22 tahun.

Kes ini mula mendapat perhatian apabila perbualan mangsa bersama rakannya mengenai insiden itu tular di laman sosial.

Selebriti itu kemudiannya membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan dan mendakwa beliau difitnah.

Bagaimanapun pada 25 November, bapa kepada selebriti itu membuat pendedahan mengejutkan di laman sosialnya. Selebriti itu kemudiannya membalas beliau sudah lama tak berhubung dengan bapanya sejak bapanya meninggalkan ibunya.

Dan pada 27 Nov media melaporkan selebriti terbabit - yang sebelum ini menjadi peserta program berkaitan dakwah - ditahan reman selama lima hari kerana disiasat atas tuduhan merogol. - 1 Disember 2020.