t>

Breaking News

DJ Ketawakan Guru Terbahak-Bahak Minta Maaf Tetapi Netizens Tak Layan.

SOSMED | DJ Hitz Sarawak yang ketawakan seorang guru kerana sebutan bahasa inggerisnya kurang fasih nampaknya menerima akibat dari perbuatan itu.


Bukan sahaja DJ itu menerima kecaman dari guru-guru yang bersolidariti malah juga netizens dan syarikat tempatnya bekerja.

DJ itu kini digantung tugas dan diserang oleh ribuan netizens lain yang mempertikaikan motif beliau menyindir sebutan bahasa inggeris guru tersebut.

DJ yang dikenali sebagai Yusuf Shukri itu pada awalnya memuatkan video ketawakan guru itu di aplikasi Tiktok sebelum ianya menjadi viral dan tersebar ke beberapa platform media sosial yang lainnya.

Sebagai rekod, rakaman video sedang mengajar itu diambil dari sedutan pengajaran saluran tv yang baru dilancarkan minggu lepas, DidikTV.

DidikTV bertujuan memberikan alternatif kepada pelajar sebagai salah satu inisiatif Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memandangkan ramai ibu bapa mengeluh tak mempunyai gajet yang mencukupi bagi mengikuti kelas online.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengurus Besar, Astro Radio Malaysia Timur, Hafiz Nizamuddin berkata pihaknya memandang serius mengenai perkara memalukan itu.

"Kami mohon maaf di atas tindakan seorang penyampai kami berhubung video yang tular baru-baru ini. 

Kami mengambil serius mengenai perkara ini dan satu siasatan dalaman akan dijalankan. Buat masa ini, kami akan menggantung sementara tugas penyampai radio terbabit," katanya menerusi kenyataan media yang dikongsikan di Instagram Hitz Sarawak.

Selepas menerima kecaman bertubi-tubi, DJ itu kemudiannya membuat kenyataan maaf terbuka.



Malangnya, kenyataan maaf tersebut mendapat sambutan dingin netizens dan rata-rata netizens merasakan DJ tersebut sepatutnya dibuang kerja bagi memberikan pengajaran kepadanya dan mana-mana pihak lain supaya jangan sesekali memandang ringan tugas guru apatah lagi mempersendakan mereka dalam video yang langsung tak memberikan nilai tambah kepada anak bangsa.

Baca pula pandangan dari cikgu ini;

Oleh : Mohd Fadli Salleh 

Tular pasal cikgu Sains yang mengajar di Didik TV dikecam kerana ada istilah salah, sebutan tak ada slang mat saleh, pronounce kureng dan grammar tak betul.

1. Mengajar secara LIVE atau dikonti TV tidak mudah walau untuk mereka yang berpengalaman.

2. Bukan semua orang boleh beraksi dengan natural bila tahu ribuan mata bakal memandang. Maka panic, kesilapan mudah akan berlaku.

3. Guru ini bangsa Melayu. Lahir dan membesar di negara Malaysia. Nak harap dia cakap English slang macam mat saleh? Gila. Sama macam kau suruh mat saleh yang belajar Bahasa Melayu cakap macam kita cakap. Boleh?

4. Beliau guru Sains. Bukan guru English. Keberanian beliau nak tampil ke depan untuk mengajar tu pun dah satu rahmat dan patut dipuji, bukan dikeji.

5. Mata beliau memandang skrip masa mengajar. Kesilapan istilah dan grammar, besar kemungkinan salah dalam skrip yang ditulis. Patut ada pihak professional semak dahulu skrip, patut ada yang proofread sebelum luluskan skrip. Kesilapan dan kelemahan bab ni perlu diperbaiki.

6. Objektif pembelajaran adalah subjek Sains. Maka kesalahan sedikit sebanyak grammar sepatutnya tidak menjadi isu pun. Ilmu dapat disampaikan, murid faham, objektif tercapai. Lain la jika subjek English. Dan sekali lagi, jika ada pihak yang mahir dalam Bahasa Inggeris yang proofread skrip dan semak semua grammar dan istilah sebelum rakaman bermula, pasti lebih baik. Grammar yang betul dapat diguna dalam kelas adalah lebih baik walau bukan subjek English.

7. Mengecam, menyindir, memalukan sesuatu pihak seakan menjadi budaya dalam sesetengah masyarakat kita. Tajuk cerita diperbesarkan, martabat guru diperlekehkan. Ada pihak guna tajuk "Macam ini level cikgu negara kita?" hanya kerana kesalahan kecil. Ada salah, tegur melalui saluran yang betul tanpa perlu memalukan dan menjatuhkan martabat sesiapa.

8. Percayalah. Dalam menuntut ilmu ini perlu ada keberkatan. Dan keberkatan itu terletak pada redhanya seorang guru. Guru bukan maksum, ada salah. Kesalahan itu perlu ditegur dengan cara yang betul, bukan dijadi bahan gelak ketawa dan dipersenda. 

9. Yang mana hebat sangat mengecam itu ini, cuba tawarkan diri mengajar secara LIVE atau di TV. Nak juga tengok hebat tara mana sampai kecam macam sempurna sangat ni.

10. Buat guru tersebut, anda hebat. Anda sangat berani. Pedulikan kata-kata negatif netizen. Ambil yang positif dan terus bersemangat untuk mendidik anak bangsa. Saya sangat kagum dan bangga dengan cikgu. Sekian, terima kasih. - 20 Februari 2021.