Isu Ebit Lew Gagal Hantar Bantuan, Jangan Salahkan Dan Menghina Komuniti Bajau Laut - Jefry Musa.
Oleh : Jefry Musa
Disebabkan ramai yang bertanya tentang Ustaz Ebit Lew, saya sebenarnya tidak pasti apa yang terjadi. Awal pagi tadi saya ada dimaklumkan oleh seorang kawan bahawa Ustaz mahu berjumpa dengan saya untuk berbincang tentang keperluan sekolah kami.
Tapi seperti yang semua sedia maklum, Ustaz telah dihalang untuk meneruskan bantuan semasa dalam perjalanan.
Saya tidak tahu apa yang terjadi, tapi saya ada beberapa pendapat;
1. Jangan menyalahkan/menghina komuniti Bajau Laut, pandai menagih simpati, mengemis, penipu dsb, mereka tidak salah. Malah mereka memang perlukan bantuan. Isu ini tidak semudah seperti kita baca, saya selalu pesan pada kawan-kawan, bersimpati sahaja tidak cukup. Kalau sosok besar seperti Ustaz pun pada akhirnya terpaksa mengalah, cuba bayangkan kami bertahun di lapangan ini bagaimana?
2. Terus memberi semangat kepada Ustaz untuk membantu atau membela kebajikan komuniti Bajau Laut. Sebenarnya pada surat terbuka saya kepada Ustaz pun, saya cuba menulis untuk Ustaz faham tentang masalah-masalah dan keperluan persiapan jika mahu membantu komuniti ini. Saya juga ada menulis tentang kerisauan akan kesan-kesan jika niat baik kita tidak diraikan. Faktanya komuniti ini masih hidup melarat, niat baik kita masih belum selesai.
3. Selepas pendedahan dan halangan ini, apa tindakan susulan badan-badan kerajaan? Saya fikir persoalan ini yang perlu diangkat oleh nitizen supaya menjadi naratif utama media-media hari ini. Sebab mereka yang memegang kuasa dan mereka juga yang menghalang, jadi apa tindakan dan solusi daripada mereka untuk membantu komuniti terpinggir ini?
Dua hari sahaja Ustaz Ebit Lew di Semporna sudah membuka mata ramai orang tentang keberadaan dan penderitaan komuniti Bajau Laut ini. Sepatutnya bukan lagi hanya menjadi tangungjawab Ustaz sahaja, tapi juga kita semua. Saya sentiasa berdoa untuk segala urusan Ustaz dipermudahkan.
Terima kasih,
Jefry Musa
Guru di Sekolah Bajau Laut Omadal