t>

Breaking News

Kronologi Kematian Adik Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek Yang Didera Keluarga Sendiri.

KRONOLOGI | Tahun lalu sekitar bulan Oktober, kisah Puan Norlida Abu Hassan menjadi sensasi di media sosial kerana tularnya satu video yang memaparkan beliau menangis pilu kerana perlu menyerahkan Amir, anak angkatnya yang berusia 6 tahun kepada ibu kandungnya.

Puan Norlida dilihat sangat menyayangi Amir walaupun Amir bukan anak kandung. Malah adik beradik angkat Amir melayan Amir bagaikan adik kandung mereka, tambahan pula Amir adalah ahli keluarga yang paling bongsu.

Portal MSTAR juga ada menemubual Puan Norlida ketika video tersebut menjadi tular di laman sosial.

Berikut sedikit petikan temubual itu yang disiarkan pada 19 Oktober 2020;

Menyingkap kembali bagaimana Amir berada di bawah jagaannya, menurut Norlida, dia hanya menghulurkan pertolongan kerana ketika itu ibu kandung kanak-kanak tersebut sedang menyambung pengajian dan masih belum stabil dari segi kewangan.

"Ibunya adalah rakan kolej anak saya. Anak saya selalu bercerita dia simpati dengan kakak seniornya yang terpaksa jaga baby dalam masa yang sama bekerja dan belajar.

"Memang saling tak mengenali pun, tapi saya turut simpati bila dengar cerita anak. Kemudian saya tawarkan pertolongan untuk jaga bayinya itu. Saya dengan berbesar hati terima bayi tersebut seperti anak sendiri.

"Kepada ibunya, saya katakan usah bimbang... belajar dan selesaikan urusannya dulu, hal perbelanjaan susu, lampin pakai buang jangan difikirkan. Ada la rezeki Amir ni nanti.

"Bukan kata tak reda, saya sedar akhirnya Amir akan kembali kepada ibu kandungnya juga namun sedih sangat nak berpisah kerana hampir enam tahun keluarga kami memeliharanya, sejak dia berusia dua bulan.

"Di sini, dia ditimang dengan penuh kasih sayang sebab dia adalah 'adik bongsu'. Manakala anak-anak saya yang lain dah besar semuanya, yang paling bongsu pun 17 tahun. Abang-abang dan kakak-kakaknya layan dia dengan penuh kasih sayang,"
katanya dalam temubual itu.

2. Kali terakhir Puan Norlida bertemu dengan anak angkatnya, Amir ialah seminggu selepas mereka berdua berpisah semasa ayah tiri Amir membawa kanak-kanak itu bertemu dengan keluarga angkatnya. Pertemuan itu berlaku tanpa pengetahuan ibu kandung Amir.

3. Selepas kejadian itu disedari oleh ibu kandung Amir, beliau bertindak memutuskan hubungan Amir dengan keluarga angkatnya.

4. Pada 29 Januari 2021, beberapa portal media tempatan melaporkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun ditemui dalam bilik air rumah yang terletak di Taman Krubong Jaya.

5. Laporan susulan kemudiannya menyatakan kanak-kanak itu bernama Amir, yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan ayah tirinya.

6. Ketika ditemui terdapat beberapa kesan kecederaan pada anggota badan mangsa yang dipercayai didera.

7. Pada 30 Januari 2021, ibu kandung dan bapa tiri Amir telah ditahan reman selama 7 hari sehingga 5 Februari bagi membantu siasatan. 

8. Beberapa media tempatan juga melaporkan kekesalan ibu angkat Amir kerana gagal mempertahankan Amir dari diambil oleh ibu kandungnya.

Petikan laporan Mstar;

Bercerita saat mendengar perkhabaran duka yang disampaikan suaminya malam tadi, Norlida berkata hatinya begitu luluh mengenangkan cara pemergian kanak-kanak malang berkenaan yang sudah dianggap seperti anak kandung sendiri.

"Malam tadi suami dapat panggilan daripada jiran ibu Amir di Melaka. Jiran tersebut beritahu suami, katanya Amir dah tak ada. Katanya, dia dapat tahu Amir meninggal dunia dan ditemui di bilik air.

"Bila suami beritahu saya, ya Allah.... luluh sangat hati ini. Saya terlalu rindu, nak dengar suara dia, nak jumpa dia... tiga bulan tak dengar khabar berita kerana ibu kandungnya 'control'.

"Sejak serahkan Amir pada Oktober lalu, sempat dua kali saja bertemu. Bapa tirinya akan ambil kesempatan bawa Amir sekali kalau dia nak hantar barang di Kuala Lumpur. Masa itu dia akan beritahu saya dan kami berjumpa di kedai makan.

"Kali terakhir jumpa bapa tirinya bawa Amir pada 7 November. Amir ceria dan gembira sangat. Dia cakap nak sekolah dekat rumah 'Umi', nama panggilan untuk saya. Anak-anak saya pun ikut sekali nak jumpa adik bongsu mereka. Kini saya tak berpeluang lagi nak tengok dia, dengar suara dia,"
ceritanya dalam nada sebak.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana... dari malam tadi, sikit pun saya belum lelap. Saya tahu, saya dapat rasa dia memanggil-manggil 'Umi' ketika sakit. Sebab kalau dia jatuh atau sakit, sayalah orang yang akan dicari dulu.

"Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil Amir. Sebab tu saya rasa terkilan sangat tak pertahankan Amir sebelum ini tapi nak buat macam mana, itu hak mutlak ibu kandungnya.

"Anak-anak saya semua terlalu sedih dengan kehilangan adik bongsu mereka. Amir meninggal dunia di tangan manusia kejam... manusia yang ada hubungan dengannya. Saya berharap sangat keadilan berpihak kepada Amir. Moga pelakunya dapat hukuman setimpal,"
ujarnya.

9. Pada 31 Januari, media melaporkan proses bedah siasat Amir mengambil masa selama 10 jam. Hasil bedah siasat menemukan luka baru sepanjang 3 sentimeter di bahagian kepala termasuk kesan luka baru dan lama di beberapa anggota badan mangsa. Pada ketika ini juga serang bertalu-talu dilakukan di Facebook ibu Amir dan wajah wanita itu menjadi tular di laman sosial kerana dikecam netizens.

10. Pada 1 Februari, jenazah Amir dituntut oleh Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. Jenazah kemudiannya dibawa ke Madrasah Assyakkirin Simpang Bekoh kira-kira jam 11 pagi untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Seramai 40 orang dibenarkan untuk menyertai solat jenazah yang terdiri dari keluarga kandung dan keluarga angkat arwah.

11. Jenazah kemudiannya dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar Simpang Bekoh (600 meter dari kediaman nenek kandung) dan selamat dikebumikan pada jam 12.40 tengahari.

12. Terdapat dakwaan tular yang mengatakan ibu Amir mengalami masalah mental namun dakwaan itu dinafikan pihak polis dalam satu laporan bertarikh 31 Januari 2021.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, ibu kandung Amir yang berusia 32 tahun itu hanya mendapatkan rawatan biasa dan bukan disahkan sebagai pesakit mental.

"Ya, suspek pernah mendapatkan rawatan, tetapi sudah lama iaitu pada 2019 dan rawatan itu diterima di Hospital Melaka, namun hanya rawatan biasa yang mana wanita itu tidaklah (mental) seperti didakwa," katanya.

13. Polis juga menafikan mayat Amir ditemui dalam keadaan kembung.

Berdasarkan keadaan mayat mangsa diercayai mangsa baharu sahaja meninggal dunia kira-kira tiga jam.

"Dakwaan netizen mengatakan dua tiga hari mayat dah kembung tidak benar dan dia baharu sahaja meninggal dunia.

"Malah masa kita sampai di rumah mangsa, mangsa tidak berada dalam tong air yang dipercayai lemas di bilik air tingkat bawah, dan kita masih siasat,"
katanya, memetik laporan Sinar Harian.

14. Menurut kakak angkat Amir, Tufah Naziha Md Tarmidi ibu kandung Amir merupakan seorang graduan Diploma Bimbingan Dan Kaunseling.

“Saya mula mengenalinya bila kami mengambil jurusan sama iaitu diploma bimbingan dan kaunseling namun ketika itu saya di tahun satu dan dia senior saya.

"Jujurnya saya terkilanlah dengan apa yang berlaku dan apabila pagi tadi dua-dua mereka (ibu kandung dan ayah tiri) datang ke Jabatan Perubatan Forensik ini untuk pengecaman, kami pun tergamam,” katanya 

15. Ketika sesi pengecaman mayat, ibu Tufah, Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat Amir merayu kepada ibu kandung Amir untuk kebumikan Amir di kediaman dia membesar di Rawang, Selangor. 

“Mereka sampai dulu di Jabatan Perubatan Forensik ini untuk pengecaman, dan ayah tiri dia asyik sebut minta maaf pada Umi sepanjang pertemuan itu.

“Umi pula merayu kepada ibu kandung ‘Adik’ untuk beri izin kali terakhir jenazah dikebumikan di Rawang, namun dia (ibu kandung) cuma menggeleng tanpa berkata apa-apa,” kata Tufah. 

16. Pada 4 Februari, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali mengesahkan dakwaan tular bahawa bapa tiri Amir pernah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada 8 September tahun lalu.  

“Pihak polis sahkan memang suami dia pernah didakwa di mahkamah tahun lalu kerana memukul isterinya yang juga suspek wanita yang kita tahan berkait kes dera ini,” katanya

17. Selepas hampir seminggu berlalu dan menunggu penuh debaran, akhirnya pada 10 Februari 2021, Zuraida Atan, 31, dan suaminya, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki enam tahun, yang ditemukan lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya pada 29 Januari 2021.

18. Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama-sama didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malik, 7, di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya di sini, jam 3.32 petang, pada 29 Januari lalu. Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan boleh dikenakan hukaman mati mandatori, jika disabit kesalahan. Pengakuan kedua-dua suspek bagaimanapun tidak direkodkan.

19.  Bagi pertuduhan kedua, di mahkamah yang berasingan, mereka didakwa mendera mangsa sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya. Kesalahan didakwa dilakukan pada 29 Januari 2021, jam 3.32 petang di rumah pasangan itu di Taman Krubong Jaya dalam daerah Melaka Tengah. Kedua-dua suspek bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu.

20. Hakim tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. 

21. Mahkamah menetapkan 29 Mac sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat. 

Rujukan;

https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2020/10/19/tiba-masa-ibu-angkat-tunai-janji-detik-hiba-anak-dijaga-sejak-bayi-perlu-diserah-kepada-mak-kandung---tak-pernah-niat-rebut-amir

https://www.sinarharian.com.my/article/121780/BERITA/Semasa/Terdapat-kesan-luka-lebam-pada-arwah-PDRM

https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/669710/ibu-kandung-pernah-terima-rawatan-psikiatri-polis

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ibu-kandung-mangsa-lemas-dalam-tong-graduan-diploma-kaunseling-280625

https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2021/01/30/kalau-tak-mampu-jaga-tak-payahlah-ambil---selepas-3-bulan-diserah-kepada-ibu-kandung-amir-pergi-jua-luluh-hati-ibu-angkat-dapat-tahu-didera-punca-kematian

https://www.youtube.com/watch?v=9-cyaIjHOos

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/budak-lemas-dalam-tong-bapa-tiri-pernah-didakwa-kes-pukul-isteri-polis-281231