t>

Breaking News

Penjelasan Lengkap UEL Menjawab Caprice Dan Nadir Al Nuri.

SEMASA | Ustaz Ebit Lew, Pendakwah dan Pakar Motivasi terkenal di Malaysia tampil dalam video LIVE hari ini bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sejak beberapa hari lepas. 

Sebagai rekod, pihak kami hanya bertindak sebagai platform penyiaran dan bukannya endorsement. Maklumat dibawah ditulis semula dalam bentuk perkataan dan berasal dari rakaman live Ebit Lew yang turut tersiar di halaman Facebook kami.

Isu bawa lari dokumen dakwaan Caprice.

- Ustaz Ebit Lew (UEL selepas ini) menafikan membawa lari apa-apa dokumen mahupun kertas kerja membabitkan isu menghantar bantuan ke Gaza dan membawanya ke pengetahuan Hishamuddin Hussien. Tiada rundingan, perjumpaan dan perbincangan dilakukan di antara pasukan UEL dengan Caprice, Neelofa, suaminya atau pihak lain. Caprice memaklumkan beliau mendapat maklumat itu dari ibu Neelofa sendiri. Neelofa juga muncul di LIVE tersebut dan meminta agar tidak dikaitkan dalam cerita tersebut dan beranggapan dakwaan itu tak berasas. Selepas membaca komen tersebut, UEL meminta maaf dan berkata beliau menceritakan semula apa yang diberitahu oleh Caprice kepadanya. UEL juga berkata beliau telah bertanya kepada banyak pihak bagaimana mahu ke GAZA dan selepas mendapat tahu caranya, mereka mengusahakan sendiri. UEL juga menjelaskan untuk keluar ke Malaysia ada beberapa sebab akan diberikan kelulusan iaitu;

- Urusan menghantar anak belajar ke luar negara.

- Untuk urusan kerja.

- Urusan NGO dan menghantar bantuan.

Pada awalnya, UEL beranggapan Caprice mungkin stress ketika membuat kenyataan sedemikian, namun apabila ia berlanjutan, UEL berpendapat dia perlu block Caprice, kerana tidak mahu menyebarkan negativiti. UEL juga berkata jika beliau ada berbuat salah dan masalah, beliau tidak akan ragu-ragu meminta maaf tetapi bukan dalam hal-hal yang menfitnah dirinya. UEL juga mengakui beliau bukan sempurna dan ada aib, cuma aibnya dilindungi Allah.

Isu cium kaki Menteri dan membeli sijil penghargaan.

- UEL menafikan mencium kaki sesiapa dan berkata agak terluka dituduh sedemikian kerana ia membabitkan akidahnya. Menurut UEL lagi, ia merupakan satu fitnah yang sangat melampau.

"Wallahi…takkan saya nak cium kaki orang, menteri yang dimaksudkan itu mungkin Dr. Mahmoud, dia sangat terkenal dan dia datang untuk raikan pasukan yang datang.

Dr Mahmoud kata Gaza ini milik semua orang dalam dunia, dia datang ke bilik saya untuk ucapkan terima kasih dan bagi Sijil Duta Muhibbah Palestin, Caprice kata saya bayar, sama sekali tidak,” katanya.

Isu dapat melawat ayah yang sakit, menjawab Caprice.

- UEL menjelaskan beliau diberikan kebenaran masuk mengikut SOP yang ditetapkan. Boleh lihat KKM juga berkongsikan gambar lawatan tersebut dan meminta agar sama-sama berdoa. UEL juga menjelaskan beliau mendapat kebenaran melawat arwah bapanya selama satu jam. Dan semua orang boleh membuat permohonan yang sama. Arwah bapanya dan UEL negatif #covid19 kerana itulah dibenarkan ziarah. Merakam pula bertujuan untuk dijadikan kenangan. Menurut UEL ketika ibunya meninggal dunia, beliau berasa terkilan kerana tiada rekod suara ibunya ketika masih hidup untuk didengar-dengarkan bila rindu. Satu pun tiada dan perkara itu membuatkannya berasa sedih. Jadi beliau mengambil kesempatan dengan merakam detik-detik akhir bersama bapanya dan apabila rindu, beliau boleh buka dan melihat wajah dan suara bapa yang amat beliau sayangi.

UEL sangat sedih selepas melihat Caprice mempersoalkan perkara itu sehingga bertindak mencampakkan telefonnya. Apa yang membuat UEL berasa lebih marah kerana isu tersebut telah membuatkan dirinya disoalsiasat.

Tak mudah dapat masuk Gaza, menjawab Caprice.

-UEL beranggapan Caprice stress, mungkin kerana tak dapat masuk Gaza dan belum ada rezeki nak memasuki Gaza, namun UEL juga menjelaskan memang tak mudah nak masuk Gaza. Untuk masuk ke Gaza perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat. Nama sendiri, nama ibu bapa, nama atuk nenek semua diminta bagi tujuan pemeriksaan keselamatan. Perlu mendapat kelulusan dari Kerajaan Mesir dan Kelulusan Tentera dan selepas itu barulah dapat dibenarkan memasuki Gaza.

Isu tak tegur Nadir.

- UEL menjelaskan beliau dan pasukannya melalui perjalanan selama 21 jam dengan 21 check point pemeriksaan keselamatan Mesir ketika hendak masuk Gaza. Sampai di Gaza pada jam 1 pagi dalam keadaan keletihan dan perlu berehat bagi meneruskan misi seterusnya.

“Kami bersyukur Kedutaan Malaysia membantu kami sampai habis. Memang rezeki bila dapat masuk dalam 21 jam dengan diiringi kereta kebal selama 21 jam dan melalui 21 check point. Itu sahaja jalan dia dan tiada jalan lain lagi sebab melibatkan negara lain.

Bayangkan ke tandas dan makan pun kami tak sempat, duduk tegak sahaja dalam tu selama 21 jam, bayangkan macam mana keadaannya.

Apabila sampai sana dan turun bas ketika itu saya fikir saya belum solat Isyak dan Maghrib dan hendak lakukan solat jamak, tapi apabila sampai mereka minta saya masuk dan pada waktu itu saya tak pandang orang lain. Saya kalau orang salam dan tegur saya akan salam, saya betul-betul tak perasan ada Nadir di situ,” katanya.

Isu larangan membuat LIVE, menjawab Nadir.

- UEL menjelaskan pasukannya ada membuat larangan tersebut namun itu bertujuan untuk mengelak perkara buruk yang tidak dijangka.

“Tentang siaran langsung, kalau ikut misi bantuan kami memang tak bagi buat live sebab kita tak jangka apa perkara buruk yang berlaku dan macam-macam benda baik tak jadi, ini kerana ada orang kadang-kadang peluk saya, tambahan pula sekrang dengan SOP pula saya tak nak ada yang kena (hukuman) nanti.

Kalau semua lihat, saya suka masukan perkara yang positif dalam Facebook dan Instagram," jelasnya.

Isu bantuan terkandas, menjawab Nadir.

- UEL memaklumkan bantuan yang dihantarnya mengambil sedikit masa untuk sampai ke GAZA namun syukur Alhamdullilah ia telah sampai ke GAZA pada Hari Raya Aidil Adha. Menurutnya lagi bukti berkenaan bantuan-bantuan tersebut telah diterima boleh diakses di page-page rasmi kerajaan Mesir dan Pertubuhan Sukarelawan Bulan Sabit Merah Mesir.

Isu tolak proposal pembelian barang dari Nadir dan tak balas WhatsApp.

- UEL menjelaskan harga barang yang ditawarkan Nadir agak mahal dan beliau berjaya mendapatkan harga barang yang lebih murah, sedangkan ia adalah barangan yang sama. Ia juga merupakan perkara biasa untuk pasukannya menilai sebut harga yang berbaloi kerana ingin memaksimunkan sebanyak mungkin wang bagi tujuan bantuan. Bagaimanapun UEL tidak menyalahkan atau membuat tuduhan kepada Nadir dan beranggapan mungkin ada perkara-perkara lain yang tidak diketahuinya, dimana ia mempengaruhi kos.

“Pasukan saya melalui Ustaz Zul tanya semua orang, cara nak masuk dan sebanyainya. Dia ada tanya Nadir dan Nadir berikan proposal harga barangan sekotak untuk kami terima.

Harga diberikan 40 dollar sekotak atau kira-kira RM160. Saya dapat dari satu pihak lain ialah 20 dollar, jadi kenapa saya nak ambik yang harga mahal,” katanya.

Mungkin ada asas dia (harga 40 dollar), saya tidak mahu certa lanjut. Jadi kita tidak terima proposal dia. Kita tidak balas whatsApp tu tidak perlu dijadikan isu. Kadang-kadang, isteri kita WhatsApp pun kita tidak balas…Isteri WhatsApp berjela panjang, kita balas sepatah sahaja. Anak kita pun, begitu juga kita balas,” katanya.

Terluka dimaki hamun dan digelar penunggang agama.

- UEL memberitahu beliau kecewa dan terluka kerana diberikan pelbagai gelaran negatif dan tohmahan macam-macam angkara mendapat maklumat yang salah mengenai dirinya.

“Ramai yang mesej, cakap macam-macam kepada saya. Ada yang gelarkan saya babi, setan, dajal, anak haram dan penunggang agama….hati saya terluka dituduh macam-macam.

Saya fikir mereka marah sangat ini mungkin beranggapan saya ke Gaza sebab guna duit rakyat Malaysia. Ingin saya jelaskan saya ke Gaza guna duit sendiri.

Untuk misi ke Gaza saya tidak pernah buka mana-mana tabung sumbang, ia adalah inisiatif saya sendiri dan beberapa kawan rapat,” jelasnya.

Isu sumber pendapatan. 

- UEL menyedari beliau didakwa dengan beberapa tuduhan berkaitan antaranya seperti money laundering. Maka beliau terpanggil untuk menjelaskan sumber pendapatan beliau adalah dari hasil perniagaan.

UEL telah membuka restoran dan berniaga pakaian lebih kurang lima tahun yang lepas. Disamping itu beliau juga ada membuka syarikat yang menjalankan program-program motivasi. Perkhidmatan-perkhidmatan itu perlu mendapat sokongan dari agensi, kementerian dan orang awam disebabkan bayaran yang murah dan berpadanan dengan service.

Isu membeli barang bantuan dari Elew Marts.

- UEL menjelaskan setiap kali beliau memberikan bantuan, beliau akan membeli di kedai berhampiran dan bukannya membeli dari Elew Marts. Tak dinafikan ada barangan yang beliau ambil dari Elew Marts seperti bantuan lori baru-baru ini tetapi keuntungan itu tidaklah sebanyak mana. UEL juga berpendapat bahawa beliau perlu memaksimakan barang bantuan dengan mengurangkan kos sebanyak mungkin.

Isu duit bantuan. 

- UEL menafikan beliau ada membuka tabung dan mengutip derma bagi menjayakan misi bantuan pasukannya ke Gaza. Beliau ke sana menggunakan duit sendiri. Barang bantuan juga menggunakan duitnya sendiri. Oleh kerana itu tiada keperluan untuk beliau mendedahkan perjalanan dan perbelanjaan kewangan tersebut kerana ia adalah wang miliknya sendiri. 

“Saya tidak pernah buka tabung, jadi tidak perlu untuk saya cerita apa kegunaan saya. Ramai ingat saya guna duit sumbangan rakyat Malaysia," katanya.

Nadir yang perlu jelaskan apa yang beliau buat dengan duit bantuan, isu derma RM20 juta.

- UEL sebaliknya mempersoalkan derma RM20 juta yang diterima Nadir dari sumbangan rakyat Malaysia.

 “Jadi sepatutnya, dia (Nadir) yang perincikan segala bantuan dan sumbangan rakyat Malaysia ini…sertakan dengan resit dan sebagainya.

Itu yang sepatutnya, dia (Nadir) dalam persoalannya minta saya perincikan belanja. Untuk apa? Sebab saya ke sana pakai dana sendiri.

Saya pakai dana sendiri dan juga pakatan daripada kawan-kawan terdekat saya,” katanya.

UEL juga berkata Nadir kutip sumbangan dan Nadir perlu jelaskan kegunaan kesemua wang tersebut. 

“Yang kutip sumbangan itu Nadir, banyak duit dia kumpulkan. Ini adalah kebaikan rakyat Malaysia, jadi sepatutnya dia terangkan kegunaan duit itu,” katanya.

Isu bayar syarikat Hala untuk masuk Gaza.

- UEL tidak mengetahui mengenai syarikat Hala dan selepas membaca penulisan Nadir, UEL juga sedang menyiasat apakah syarikat itu. UEL kemudiannya menjelaskan beliau memang membayar namun menggunakan saluran syarikat Lucky Tour dan bukannya Miles Of Smiles seperti saranan Nadir.

“Bagi saya, itu tuduhan melampau. Saya sendiri tidak tahu apa itu syarikat Hala. Dia (Nadir) kata, satu-satunya jalan masuk ke Gaza adalah melalui Miles Of Smiles.

Itu yang dia kata, saya tidak pernah sebut. Sebenarnya saya sudah call Smiles of Smiles, jumpa dan masa itu mereka minta satu kepala bayar 10,000 dollar atau kira-kira RM40,000 untuk masuk.

Kalau 10 orang sudah RM400,000…dan proses itu gagal dan saya berhubung dengan kedutaan. Nak masuk ke Gaza kena ada dua kelulusan penting iaitu kelulusan kerajaan Mesir dan kelulusan tentera.

“Alhamdulillah…saya masa itu sudah dapat kelulusan pertama hasil bantuan kedutaan Malaysia. Selepas lama di sana, saya dimaklumkan ada pihak yang ingin bantu kami masuk ke Gaza, masa itu saya fikir mahu balik ke Malaysia sahaja.

Kami dapat bantuan ejen perisikan Mesir dengan syarikat Lucky Tour yang ingin bawa masuk ke Gaza. Mereka kenakan caj 2,500 dollar atau kira-kira RM10,000 satu kepada. Bayangkan berapa penjimatan daripada tawaran awal yang kami dapat,” katanya.

Isu menyusahkan NGO-NGO lain.

- UEL menafikan tindakan beliau membayar untuk masuk ke Gaza telah menyusahkan mana-mana pihak yang mahu menghantar bantuan sebaliknya telah membuka laluan mudah kepada NGO-NGO lain.

“Jadi dakwaan yang kata saya susahkan NGO lain sebenarnya satu penipuan dan zalim. Daripada RM40,000 hingga RM50,000 satu kepada kami dapat RM10,000 satu kepada. Saya doakan, orang lain akan dapat masuk juga,” katanya.

Isu melancong ke Mesir.

- UEL menjelaskan niat beliau ke Gaza sememangnya untuk menghantar bantuan semata-semata namun ia memakan masa selama 33 hari.

UEL memberitahu niat beliau;

1. Beri barangan bantuan kepada pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia - Mesir.

2. Jika ada rezeki lebih, ingin sampai ke pintu Rafah.

3. Jika ada rezeki lebih, berharap dapat masuk ke Gaza.

Isu Pembantu Peribadi (PA) yang didakwa riak.

- UEL menjelaskan beliau berkawan dengan semua dan masyarakat dari pelbagai lapisan. Beliau tidak mahu memburukkan sesiapa termasuklah pasukannya. Beliau juga berkata, apa-apa yang berlaku adalah dalam pengetahuannya. Jika buruk, maka ia adalah kerana dirinya dan begitulah sebaliknya. UEL juga tidak mahu menghukum sesiapa termasuklah pasukannya kerana mereka dah macam satu keluarga. Beliau mengambil orang yang tinggal di bawah jambatan, tinggal di ceruk kampung, hutan, untuk tolong dan diberi kerja, seperti yang disarankan masyarakat, tak akan nak buang pula orang-orang sebegini. Jika berlaku apa-apa UEL akan menggunakan jalan nasihat dan teguran.

Dalam LIVE itu juga, UEL ada memberitahu, jika ada mana-mana pihak yang masih memanjangkan fitnah dan cerita tidak benar tentang dirinya, maka bersedialah untuk disaman. - 22 Julai 2021.