Tentera Bawang Malaysia KOYAK Dengan Kebodohan Sendiri.
ULASAN | Kita biasa dengar menteri-menteri negara ini memalukan rakyatnya dengan laporan berita yang negatif tetapi lain pula kali ini. Tentera Bawang Malaysia berjaya mencipta rekod dengan memalukan negaranya sendiri apabila menyerang atlet OKU dari negara lain.
Tepuklah tangan. Rasalah bangga. Anda dan menteri dah berdiri satu level.
Semasa penulis mendapat perkhabaran emas yang dimenangi Ziyad ditarikbalik, penulis turut berasa sedih. Setelah penulis membaca berita, anggapan awal penulis, ia kesalahan penganjur ataupun juri ataupun pihak yang berperanan mengawal pertandingan bertindak tidak cekap menguruskan situasi. Penulis berpendapat jika sudah melanggar protokol call room, maka usahlah benarkan Ziyad masuk bertanding. Harapan palsu diberi, emas direntap selepasnya, itu sangat menyakiti.
Sementara menunggu proses rayuan selesai dan lengkap sepenuhnya sehingga dimuktamadkan, tidak pula disangka-sangka ada kumpulan seperti Tentera Bawang Malaysia yang bertindak melakukan kerja bodoh.
Rupa-rupanya sudah ada serangan yang dihalakan kepada Ukraine. Juga sudah ada serangan yang dihalakan kepada Atlet Ukraine.
Tidakkah Tentera Bawang Malaysia memahami maksud Paralimpik?
Ia merujuk kepada satu pertandingan sukan yang disertai oleh atlet-atlet OKU. OKU. Adakah tidak jelas disitu? OKU.
Atau baru acah-acah semangat kesukanan hanya semata-mata nampak pingat EMAS?
Dan mereka menghalakan serangan kepada atlet OKU. Ya, OKU. So, tak perlu belas kasihan terhadap OKU Ukraine? Boleh serang OKU yang bukan warganegara Malaysia?
Paling pelik dan ajaib apabila mereka berlebih-lebihan marah berbanding Ziyad. Ziyad ialah OKU Inteklektual. Dia boleh menerima insiden tersebut dengan rasional. Lihat air mukanya. Dan bandingkan dengan jari-jari anda yang menaip cacat cacat cacat kat Instagram atlet OKU Ukraine. Tidakkah anda berasa malu? Anda perlukan OKU Intelektual untuk sekolahkan anda tentang sikap tenang dan rasional?
Tapi, ini belum cukup teruk.
Yang teruk, apabila disekolahkan, ada Tentera Bawang Malaysia yang KOYAK.
Mereka benar-benar fikir tindakan menyerang OKU adalah betul dan wajar kerana didakwa merampas kemenangan Ziyad.
Malah yang tidak sekufu dengan pemikiran mereka pula digelar pengkhianat. Pengkhianat? Menyerang OKU adalah betul, tidak menyerangnya adalah pengkhianat?
Bagaimana ini boleh jadi betul?
1. Terbukti pasukan yang menguruskan Ziyad telah lambat hadir ke call room.
2. Ia disahkan oleh pegawai KBS. Pasukan Malaysia telah menerima makluman mengenai perlanggaran protokol itu melalui pesanan ringkas. Rayuan dilakukan.
3. Semasa rayuan diproses, Ziyad tetap dibenarkan masuk bertanding.
4. Proses rayuan belum selesai dimuktamadkan, tetapi peserta yang diragui protokol pertandingan dibenarkan masuk bertanding. Pasukan lain yang turut bertanding memerhatikan ketidakadilan itu.
5. Adakah ini salah Ziyad? Atau atlet Ukraine? Atau Ukraine?
6. Bagaimana jika situasi ini diterbalikkan. Ziyad berada di posisi Ukraine. Dan Ukraine berada di posisi Ziyad?
7. Dan tiba-tiba Tentera Bawang Ukraine menyerang Ziyad - masih rasa betul ke?
8. Oleh kerana perlanggaran SOP pertandingan itu dilaporkan, jelas ia bukannya sesuatu yang boleh diremehkan.
9. Pastinya peraturan itu sangat penting sehingga ia diambilkira. Malah sehingga berupaya membatalkan kemenangan.
10. Jadi siapa yang bersalah? Pasukan yang melihat pasukan lain melanggar SOP dan membiarkan ketidakadilan itu? Pasukan yang hadir lambat disebabkan halangan tertentu? Siapa yang bersalah?
11. Yang pasti Ziyad tidak bersalah. Sama sekali tidak boleh dipersalahkan dalam cerita ini. Ziyad adalah OKU Intelektual. Atlet Ukraine dan pasukannya juga tidak bersalah. IPC juga telah menjelaskan kenapa mereka membenarkan Ziyad mara ke pusingan seterusnya.
Kronologinya;
- Ziyad, Jordi Patricio Congo Villalba (Ecuador) dan Todd Hodgetts (Australia) tiba lewat di bilik menunggu.- Di bawah peraturan badan induk olahraga WPA, atlet yang tidak berada dalam bilik menunggu pada waktu ditetapkan, akan dibatalkan penyertaan.
- Namun ketiga-tiga atlet dibenarkan beraksi di bawah bantahan sementara pengadil mempertimbangkan alasan kelewatan mereka.
- Pengadil tidak mahu berlakunya insiden andaikata ketiga-tiganya ada alasan kukuh kenapa lewat, tetapi tidak dibenarkan bertanding. Pada ketika itu belum ada bukti kukuh.
- Alasan yang diberikan oleh ketiga-tiga pasukan ialah tidak mendengar pengumuman atau ia dalam bahasa yang mereka tidak faham.
- Ketiga-tiga pasukan, atlet dan penyiar telah dimaklumkan awal bahawa beraksi di bawah bantahan dan mungkin dibatalkan jika ketiadaan bukti kukuh yang mewajarkan kelewatan.
- Sebaik melihat bukti, pengadil dan juri membuat keputusan yang mereka lewat tanpa alasan kukuh.
Sementara kita sedang memproses maklumat mencari siapa sebenarnya yang bersalah dalam insiden ini, Tentera Bawang Malaysia telah pun menjadi pesalah pertama.
Mereka terlalu beremosi.
Mereka terlalu bangga barangkali menjadi satu unit cyberbully.
Walaupun yang diserangnya itu adalah OKU.
Kesalahan mereka ini telah direkodkan.
Telah dilaporkan.
Berita telah menghebah-hebahkan perbuatan mereka yang memalukan itu.
Koyak. Koyak. Koyak. Bukan lagi kepada Israel, tetapi diri sendiri. Tahniah. Berbanggalah. Pencapaian tu. - 2 September 2021.