Sibuk Bina Tugu Peringatan Banjir, Mangsa Banjir Tak Dapat Rumah Lagi - Husam Bidas PAS Kelantan.
Tugu Peringatan Banjir di Kuala Krai
di sini, yang dibina bercirikan Islam dan menghadap arah kiblat,
merupakan kontroversi terbaharu di Kelantan selepas isu balak yang
menjadi fokus bantahan penduduk Orang Asli.
Isu tersebut hangat diperdebatkan apabila bekas exco kanan Kelantan,
Datuk Husam Musa, mempersoalkan tindakan kerajaan pimpinan PAS itu
membina tugu sedangkan masih ramai mangsa banjir belum mendapat rumah
yang selesa.
Pemimpin Amanah itu mendakwa kerajaan
Kelantan menggunakan dana Yayasan Amanah Tok Kenali (YATK) berjumlah
RM300,000 kerana kecuaian membina atas tanah milik persendirian,
sekaligus menyifatkannya satu pembaziran dana awam.
Sementara itu, bagi Hazimi Rahman, tugu itu boleh dijadikan produk pelancongan baharu.
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat
bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut, mendesak Adun Salor itu menarik
balik kenyataannya.
“Selepas meneliti beberapa dokumen dan mendengar penjelasan daripada
Yayasan Amanah Tok Kenali, tanah yang dimaksudkan adalah dibeli daripada
Yayasan Amanah Tok Kenali bagi tujuan menyelamatkan tanah Masjid Jauhar
yang sebelum ini dibina di atas tanah milik individu.
“Manakala, Tugu Banjir yang dibina oleh badan bukan kerajaan di Kuala
Krai tidak termasuk di dalam tanah yang dibeli Yayasan Tok Kenali dan
tidak seperti yang didakwa beliau,” katanya.
Tugu tersebut dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada 28 Ogos 2016.
“Kenapa bila Kerajaan Kelantan bina tugu banjir ada orang bising,
sepatutnya ia tidak perlu dipersoal kerana ia dibuat sebagai
memperingati sejarah banjir di Kelantan,” katanya.
Sebaliknya, Mohd Khairul menyifatkan misi lebih penting ialah mangsa banjir diutamakan selaras dengan tuntutan Islam
Wau bulan, arah kiblat
Tinjauan FMT mendapati tugu itu bercirikan Islam, menghadap kiblat,
sementara di puncaknya dipasang wau bulan yang menjadi simbol kebudayaan
negeri.
Turut dinyatakan ialah tapak berbentuk bintang melambangkan Islam, sementara 5 bucu berdasarkan rukun Islam dan 5 waktu solat.
Ia juga menunjukkan tanda aras air ketika beberapa insiden banjir yang berlaku pada 1963, 1972 dan 2014.
Menurut Setiausaha Majlis Daerah Kuala Krai, Shuhairy Samsudin, selain
menjadi mercu tanda bagi mengenang sejarah hitam itu, ia juga
penghargaan kepada semua agensi, NGO, badan korporat, dan orang
perseorangan yang membantu mangsa banjir.
Kelantan antara negeri dilanda banjir besar bermula akhir 2014,
melumpuhkan sebahagian besar Pantai Timur selama beberapa minggu. Lebih
200,000 orang mangsa dipindahkan, manakala 21 orang dilaporkan terbunuh.
Tinjauan FMT mendapati rata-rata penduduk setempat menyambut baik tugu tersebut, menyifatkanya produk pelancongan baharu.
“Kami penduduk Kuala Krai menyambut baik pembinaan tugu ini dan ia juga
boleh dijadikan rujukan kepada orang ramai setiap peristiwa yang
berlaku,” kata Mohd Nadzmi Yusuf.