t>

Breaking News

Penjelasan Lengkap Syazlin Mansor Mengenai Inkues Adib.

SYAZLIN MANSOR | KENYATAAN AKHBAR MENJELASKAN ISU-ISU BERBANGKIT MENGENAI IKUES KEMATIAN PEGAWAI BOMBA MUHAMMAD ADIB MOHD KASSIM 

1. Sidang media ini dibuat bagi menjelaskan perkara sebenar berkaitan penarikan diri saya daripada Prosiding Inkues, serta isu-isu yang berbangkit daripadanya. Saya berhak untuk menerangkan keadaan dan menutup sebarang spekulasi tidak berasas terhadap saya mahupun suami saya. Saya juga merasakan rakyat berhak mengetahui sebab sebenar penarikan diri saya. Sidang media ini dibuat tanpa sebarang niat jahat untuk mengecam mana-mana pihak. 



2. Pada awalnya, setelah arwah Adib meninggal dunia, dan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh oleh pihak polis, saya telah dilantik oleh YB Menteri KPKT untuk bertindak sebagai peguam pemerhati (watching brief) di dalam perbicaraan jenayah yang menyebabkan kematian ke atas arwah Adib. Saya juga turut dilantik oleh keluarga arwah Adib untuk mewakili mereka sebagai peguam pemerhati. Malangnya, tiada perbicaraan jenayah dijalankan, dan Peguam Negara memutuskan untuk membuat Prosiding Inkues bagi menentukan sebab kematian arwah Adib. Oleh itu, saya dilantik oleh pihak-pihak yang sama untuk mewakili mereka di dalam Prosiding Inkues arwah Adib. 

3. Pada tarikh Pengurusan Kes Prosiding Inkues, 18 Januari 2019, saya telah memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa saya mewakili keluarga arwah, KPKT dan JBPM dalam inkues ini. Pada tarikh tersebut, keluarga arwah telah diterima masuk sebagai pihak berkepentingan di dalam Prosiding Inkues. Saya kemudiannya telah membuat hujahan agar KPKT dan JBPM diterima masuk sebagai pihak berkepentingan di dalam inkues ini. Tiada bantahan dibuat oleh Pegawai Pengendali Prosiding Inkues. Puan Koroner setelah mendengar hujahan saya, membenarkan KPKT & JBPM menjadi pihak berkepentingan. 

4. Ianya adalah penting untuk dinyatakan bahawa daripada awal sehinggalah pada tarikh Peguam Negara menulis surat kepada YB Menteri baru-baru ini, tiada sebarang bantahan dibuat oleh Pegawai Pengendali mengenai pelantikan saya, dan fakta bahawa saya tidak boleh mewakili ketiga-tiga pihak berkepentingan iaitu KPKT, JBPM dan keluarga arwah, sedangkan sepertimana yang umum mengetahui, Pegawai Pengendali ada membuat bantahan terhadap kemasukan dua pihak lain ke dalam Prosiding Inkues. 

5. Saya merasakan ianya adalah pelik bahawa, apabila saya mula menyoal teori pakar forensik patologi HKL, dan membawa saksi pakar Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid untuk membantu inkues, isu konflik kepentingan dan pelantikan saya baru dibangkitkan. Walhal, ia adalah merupakan kewajipan dan tanggungjawab saya sebagai peguam mewakili pihak-pihak berkepentingan untuk berbuat demikian, dengan niat membantu Mahkamah Koroner dalam mendapatkan kebenaran, atau membuat dapatan apakah yang paling mungkin boleh berlaku ke atas arwah Adib yang menyebabkan kematian beliau. 

6. Kronologi peristiwa yang terjadi, juga pada pandangan saya, jelas menunjukkan bahawa ada cubaan untuk mengacau ganggu Prosiding Inkues ini, terutamanya dalam hal 2 berkaitan keterangan yang dikemukakan oleh saksi pakar Prof Dr. Shahrom. Kronologi ini secara terperinci adalah seperti yang dikepilkan di Lampiran. 

7. Saya selanjutnya merujuk kepada Kenyataan Media Peguam Negara bertarikh 28 Mei 2019, dimana beliau telah menyatakan 4 alasan mengapa beliau telah mengarahkan YB Menteri KPKT untuk menamatkan perkhidmatan saya sebagai peguam mewakili KPKT dan Bomba. Saya merasakan bahawa kenyataan media tersebut merupakan satu kenyataan yang mempersoalkan pertimbangan profesional dan integriti saya sebagai seorang peguam. Tambahan lagi saya merasakan empat alasan tersebut tidak berasas sama sekali. Justeru, saya ingin menjawab empat alasan tersebut satu per satu:- 

8. Alasan Pertama: Dakwaan tiada Fiat (Kelulusan bertulis Peguam Negara). Saya dengan ini merujuk kepada Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah. Petikan tersebut adalah seperti berikut : Employment of advocate 379. With the permission in writing of the Public Prosecutor, an advocate may be employed on behalf of the government to conduct any criminal prosecution or inquiry or to appear on any criminal appeal or point of law reserved on behalf of the Public Prosecutor. The advocate shall be paid out of the public funds such remunerations as may be sanctioned by the Minister of Finance and while conducting such prosecution or inquiry, or appearing on such criminal appeal, or point of law reserved, shall be deemed to be a “public servant”. Di dalam Seksyen tersebut adalah jelas bahawa Fiat hanya diperlukan sekiranya saya dilantik untuk mengendalikan Prosiding Inkues. Sepertimana yang kita sedia maklum, Prosiding Inkues kematian arwah ini dikendalikan oleh Pegawai Pengendali yang merupakan Timbalan Pendakwa Raya dan bukannya dikendalikan oleh saya. Saya merupakan peguam yang dilantik mewakili pihak- pihak berkepentingan. Oleh itu, saya tidak memerlukan fiat untuk dilantik mewakili pihak-pihak berkepentingan tersebut. Adalah betul tindakan YB Menteri dalam melantik saya sebagai peguam mewakili KPKT dan JBPM. YB Menteri tidak perlu sama sekali mendapatkan kelulusan dan kebenaran Peguam Negara dalam hal ini. Tindakan YB Menteri untuk melantik saya, seorang peguam dan bukannya Timbalan Pendakwa Raya adalah satu tindakan yang jelas menunjukkan YB Menteri mahukan kebenaran di dalam Prosiding Inkues. Sekiranya KPKT dan JBPM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya dari awal lagi, sudah tentu Prof Dr Shahrom tidak akan dipanggil sebagai saksi inkues, dan beberapa bukti keterangan material yang membantu inkues ini tidak akan timbul. Apakah fungsi inkues dijalankan sekiranya semua pihak bersetuju sahaja dan tidak boleh mempersoalkan hasil dapatan dan teori yang dibuat oleh pakar HKL? 

9. Alasan Kedua: Dakwaan kononnya wujud konflik kepentingan memandangkan saya mewakili KPKT, JBPM dan juga keluarga arwah. Saya ingin menegaskan bahawa tidak terdapatnya konflik kepentingan kerana tidak pernah timbulnya isu untuk keluarga menyaman KPKT dan JBPM. Ini adalah kerana teori arwah dilanggar oleh bomba merupakan teori yang tidak berasas, yang mana, teori tersebut dibuat 3 oleh pihak yang tidak terlibat dengan Prosiding Inkues ini. Ini juga bukan teori yang telah dibuat oleh pakar HKL. Oleh itu, tiada asas untuk keluarga mempercayai bahawa arwah dilanggar oleh bomba. Dalam keterangan di Mahkamah juga, ayah arwah Adib sendiri menyatakan bahawa Adib gembira apabila menerima kunjungan daripada rakan-rakan anggota yang turut bertugas bersama beliau pada malam kejadian, sewaktu Adib terlantar di hospital. Sekiranya Adib benar-benar dilanggar oleh rakan-rakan beliau ini, adakah Adib akan gembira menerima kunjungan mereka di hospital? Saya ingin menegaskan bahawa keluarga arwah dan JBPM berkongsi pendapat yang sama dan menolak teori yang dibuat oleh pakar HKL. Keluarga arwah dan JBPM tidak pada bila-bila masa berada dalam keadaan kepentingan yang bertentangan. Saya percaya perkara ini juga telah disahkan oleh keluarga arwah Adib sepertimana yang dilaporkan oleh media. 

10. Alasan Ketiga: Saya telah mengambil peranan aktif di dalam Inkues, dan sering mengambil kedudukan yang bercanggah dengan kedudukan yang diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya. Pertamanya, saya mewakili pihak-pihak berkepentingan. Adalah menjadi tugas saya sebagai peguam mewakili pihak-pihak berkepentingan untuk mengambil peranan aktif, dalam membantu Mahkamah Koroner dalam menyiasat apakah yang paling mungkin boleh berlaku ke atas arwah Adib yang menyebabkan kematiannya. Yang keduanya, mengapakah Timbalan Pendakwa Raya yang merupakan Pegawai Pengendali Inkues telah mengambil kedudukan? Bukankah Pegawai Pengendali Inkues sepatutnya bersifat neutral, tidak mengambil sebarang kedudukan? Timbalan Pendakwa Raya juga di dalam prosiding inkues digelar sebagai Pegawai Pengendali Inkues dan bukan sebagai Timbalan Pendakwa Raya. Ini jelas menunjukkan bahawa sepatutnya tugas mereka adalah untuk mengendalikan sahaja inkues. Saya selaku peguam pihak-pihak berkepentingan pula boleh mengambil kedudukan atau pendirian mengikut arahan anak-anak guam saya, yang mana anak-anak guam saya tersebut mempunyai kepentingan langsung di dalam Prosiding Inkues ini. Tambahan lagi, sewaktu di peringkat Pengurusan Kes lagi, sebelum inkues bermula, Pegawai Pengendali telah bertanyakan saya apakah kedudukan KPKT, JBPM dan keluarga arwah yang akan diambil di dalam Prosiding Inkues ini. Saya dengan jelasnya telah menyatakan bahawa pihak-pihak berkepentingan ini tidak setuju sama sekali dengan teori pakar HKL, dan percaya terdapatnya unsur jenayah yang menyebabkan kematian arwah. Perkara ini juga boleh disahkan oleh pasukan peguam yang turut mewakili keluarga arwah. Oleh itu, saya terkejut kenapa Peguam Negara seolah-olah tidak tahu kedudukan yang diambil oleh pihak-pihak berkepentingan ini. Pihak-pihak di dalam sesebuah inkues berhak mengemukakan sebarang bukti dan keterangan yang mana dapat membantu Mahkamah dalam menentukan sebab kematian arwah, seperti yang dinyatakan di dalam Seksyen 328 dan 337 Kanun Tatacara Jenayah. Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan seperti berikut: 328. Erti “sebab kematian” Dalam Bab ini perkataan “sebab kematian” termasuklah bukan sahaja sebab kematian yang nyata yang boleh ditentukan melalui pemeriksaan atau pemeriksaan post-mortem terhadap badan si mati itu, tetapi juga semua perkara yang perlu untuk 4 membolehkan suatu pendapat dibuat mengenai bagaimana si mati itu menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh mana-mana orang lain. Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan: 337. Siasatan hendaklah dibuat oleh Majistret Seorang Majistret yang menjalankan suatu siasatan hendaklah menyelidiki bila, di mana, bagaimana dan apa caranya si mati itu menemui ajalnya dan juga sama ada mana-mana orang ada terlibat secara jenayah di dalam sebab-sebab kematian itu. 

11. Alasan Keempat : Suami saya bekerja sebagai Setiausaha Akhbar YB Menteri KPKT. Apakah isunya disini? Ianya jelas sedari awal lagi bahawa saya mewakili pihak-pihak berkepentingan secara Pro Bono. Pegawai Pengendali Inkues juga dari awal tahu berkenaan hal ini. Apakah yang cuba dinyatakan oleh Peguam Negara apabila beliau mengaitkan jawatan yang dipegang oleh suami saya? Saya percaya ini adalah suatu tindakan yang berniat jahat untuk memburukkan nama baik saya dan juga suami saya. Adakah salah bagi saya, seorang peguam, ingin membantu keluarga arwah dan bomba secara Pro Bono? Ingin juga saya tekankan bahawa saya merupakan peguam kes jenayah dan firma guaman saya hanya mengambil kes-kes jenayah sahaja. Saya amat terkilan apabila Peguam Negara mengheret suami saya di dalam isu ini. 

12. Pada tarikh 27 Mei 2019, iaitu pada tarikh saya menarik diri daripada Prosiding Inkues, saya ada bertanyakan kepada Pegawai Pengendali Inkues Puan Faten Hadni, kenapakah baru sekarang Peguam Negara mempersoalkan pelantikan saya dan ingin menyingkirkan saya sebagai peguam yang mewakili KPKT dan JBPM. Bukankah dari awal lagi Peguam Negara maklum saya mewakili KPKT, JBPM dan keluarga? Puan Faten Hadni menyatakan bahawa memang benar Peguam Negara tahu dari awal hal ini, tetapi tidak membuat sebarang bantahan kerana Peguam Negara berpendapat saya akan membantu inkues ini dan bertindak secara bona fide (niat baik). Saya kemudiannya mempersoalkan bilakah masa Peguam Negara berpendapat bahawa saya tidak membantu inkues dan bertindak dengan mala fide (niat jahat)?. Puan Faten menyatakan apabila saya sentiasa bercanggah dengan kedudukan yang diambil oleh Pegawai Pengendali dan apabila saya mempersoalkan teori pakar HKL. Perkara ini boleh disahkan oleh peguam-peguam yang mewakili keluarga arwah, yang hadir pada tarikh 27 Mei 2019, kerana mereka mendengar sendiri soalan-soalan saya dan jawapanjawapan yang dijawab oleh Puan Faten. 

13. Saya berharap kenyataan yang saya keluarkan hari ini akan dapat menjawab persoalan dan kekeliruan yang sedang tular dikalangan masyarakat. Saya dengan ini juga ingin memaklumkan bahawa saya akan terus mewakili keluarga arwah di dalam prosiding Inkues ini.