t>

Breaking News

Hukum Bela Anjing.

Hari ni terlihat sebuah video seorang muslim yang memelihara anjing. Kami di Pusat Talaqqi Batu Rakit (Fb.com/PTBR.Official) terus bertanyakan guru kami Ustaz Ahmad Tarmizi Taha berkaitan isu ini. Boleh ke muslim memelihara anjing dan bermesra dengannya. 

Berikut jawapan UATT 

#HUKUM_MEMBELA_ANJING
🔴    Mohon pencerahan berkenaan seorang wanita Islam yang membuat kempen bela anjing
JAWAPAN
الحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلَى نَبِيَّنا مُحَمَّدٍ؛ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِين
HUKUM MEMELIHARA ANJING
Haram membela anjing tanpa ada keperluan ( hajat ). Dalilnya ialah beberapa hadis di antaranya:
Muslim meriwayatkan
مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إلا كَلْبَ مَاشِيَةٍ أَوْ ضَارٍ، نَقَصَ من عَمَلِهِ، كُلَّ يَوْمٍ، قِيرَاطَانِ
Sesiapa yang memelihara anjing KECUALI anjing yang menjaga binatang peliharaan atau untuk pemburuan , kuranglah pahala amalannya setiap hari sebanyak dua qirat.
Muslim juga meriwayatkan
مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا لا يُغنِي عَنْهُ زَرْعًا وَلَا ضَرْعًا، نَقَصَ مِنْ عَمَلِهِ، كُلَّ يَوْمٍ، قِيرَاطٌ
Sesiapa yang memelihara anjing yang tidak diperlukan untuk menjaga tanaman atau menjaga binatang peliharaan, kuranglah pahala amalannya setiap hari sebanyak satu qirat.
Menurut Imam Nawawi qirat ialah
مِقْدَارٌ مِنَ الثَّوَابِ مَعْلُومٌ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى
Kadar pahala hanya diketahui oleh Allah.
Apa yang pastinya amalan menjadi berkurangan dengan sebab memelihara anjing.
Walaubagaimanapun Ibn Abd al Barr berpendapat memelihara anjing hukumnya makruh bukannya haram. Alasan beliau ialah hadis hanya menyebut pahala amalan menjadi berkurangan bukannya larangan membela anjing.
Pendapat beliau telah disanggah oleh Ibn Hajar di dalam Fath al Bari dengan menyatakan bahawa pahala berkurangan kerana perbuatan memelihara anjing menunjukkan perbuatan memelihara anjing tersebut adalah haram.
SEBAB PAHALA MENJADI KURANG
Imam Nawawi menyatakan beberapa pendapat ulamak tentang sebab pahala menjadi berkurangan akibat memelihara anjing.
Pahala menjadi berkurangan kerana :
1-Para malaikat enggan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing.
2-Orang ramai menjadi takut dan bimbang dari kemudoratan anjing tersebut.
3-Melakukan perbuatan haram iaitu membela anjing tanpa kebenaran syarak.
BILAKAH HARUS MEMELIHARA ANJING?
Anjing harus dipelihara ketika wujud keperluan yang diakui oleh syarak. Keperluan ini dinamakan HAJAT. HAJAT ialah satu keperluan manusia yang ketiadaannya menyebabkan kehidupan menjadi susah tetapi tidak memudoratkan agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.
Apabila seseorang mempunyai HAJAT maka harus baginya memelihara anjing. Dalilnya ialah hadis di atas yang menyatakan harus membela anjing untuk menjaga binatang ternak atau untuk berburu.
Diqiaskan kepada berburu dan menjaga binatang ternak ialah segala HAJAT yang lain.
ANJING BINATANG YANG TIDAK PERLU DIBANTU?
Kenyataan di atas bukanlah membawa maksud anjing binatang yang wajib dihapuskan dan boleh dibunuh dengan sewenang-wenangnya.
Hanya anjing yang merbahaya sahaja yang wajib dibunuh seperti anjing gila dan anjing garang yang mengancam keselamatan manusia.
Adapun anjing yang tidak merbahaya, maka ianya dibiarkan dan haram disakiti. Bahkan jika kelaparan, maka berpahala memberi makan minum kepadanya.
Al Bukhori meriwayatkan
أَنَّ رَجُلًا رَأَى كَلْبًا يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَأَخَذَ الرَّجُلُ خُفَّهُ، فَجَعَلَ يَغْرِفُ لَهُ بِهِ حَتَّى أَرْوَاهُ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ، فَأَدْخَلَهُ الجَنَّةَ
Bahawa seorang lelaki terlihat seekor anjing sedang memakan tanah kerana kehausan, lalu lelaki tersebut mengambil kasut kulitnya dan mengisi air ke dalamnya dan memberi minum kepada anjing tersebut sehingga hilang dahaganya. Allah meredai perbuatannya itu dan memberi balasan kepadanya. Lalu Allah memasukkan dia ke dalam syurga.
Al Bukhori meriwayatkan
بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ، كَادَ يَقْتُلُهُ العَطَشُ، إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَنَزَعَتْ مُوقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ
Sedang seekor anjing yang hampir mati mundar mandir di tepi sebuah perigi kerana kehausan, dan seorang pelacur dari Bani Israel terlihatnya, lalu dia mencabut kasut kulitnya dan mengisi air ke dalamnya , dan memberinya minum , lalu dia diampun oleh Allah SWT.
Dalam riwayat Muslim dinyatakan
قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَإِنَّ لَنَا فِي هَذِهِ الْبَهَائِمِ لَأَجْرًا؟ فَقَالَ: «فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ»
Para sahabat bertanya wahai Rasulullah adalah kami mendapat pahala kerana menolong binatang?
Baginda menjawab menolong setiap yang bernyawa mendapat pahala.
INGATAN
Setiap amalan baik akan diterima jika memenuhi dua syarat iaitu:
1-Ikhlas.
2-Menepati ajaran syarak.
Ibnu Kathir menyatakan ketika menafsirkan ayat :
بَلَى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِنْدَ رَبِّهِ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
فإنَّ لِلْعَمَلِ الْمُتَقَبَّلِ شَرْطَيْنِ: أَحَدُهُمَا: أَنْ يَكُونَ خَالِصًا لِلَّهِ وَحْدَهُ، وَالْآخَرُ أَنْ يَكُونَ صَوَابًا مُوَافِقًا لِلشَّرِيعَةِ، فَمَتَى كَانَ خَالِصًا وَلَمْ يَكُنْ صَوَابًا لَمْ يُتَقَبَّلْ
Sesungguhnya amalan yang diterima mempunyai dua syarat:
1-Ikhlas hanya kepada Allah.
2-Menepati dengan syariat.
Jika hanya dengan ikhlas tetapi tidak menepati syarat, maka amalan tersebut tidak diterima.
Bantulah binatang menurut garisan panduan syarak bukannya melalui aqal semata-mata.
Apabila nas diletak belakang dan aqal atau logik dijadikan pegangan, pegangan agama menjadi rosak.
وصَلَّى اللهُ على مُحَمَّدٍ وعلى آلهِ وصَحْبهِ الأَكْرَمِينَ والحمدُ لله رَبِّ العَالِمينَ
INTAHA 
وَاللَّهُ أَعْلَم
Pusat Talaqqi Batu Rakit 
fb.com/PTBR.Offical