t>

Breaking News

Jangan Ambil Mudah Dengan Demam Campak.

Oleh : Dr Rushdan Noor (Medical Mythbusters Malaysia)

JANGAN AMBIL MUDAH DENGAN DEMAM CAMPAK

Bila sebut demam campak, ramai akan mendakwa pernah mengalaminya dan pada pandangan umum ianya satu jangkitan virus yang ringan. Jadi apabila doktor mencadangkan vaksin ke atas jangkitan virus demam campak, mungkin ada yang memandang remeh. Vaksin campak selalunya diberikan bersama vaksin rubela dan mump (begok), MMR.

Sebenarnya demam campak boleh menyebabkan risiko kesihatan yang serius kepada anak dan juga masyarakat. Demam campak boleh menyebabkan radang paru-paru (pneumonia),radang otak (encephalitis), pekak, buta, terencat akal dan kematian terutama pada kanak-kanak dan individu yang rendah sistem pertahanan badan.


Pada tahun 2000, sejumlah 546,800 kematian dilaporkan akibat demam campak di seluruh dunia. Hasil daripada program imunisasi yang baik, jumlah kematian telah menurun kepada 114,900 orang (penurunan 79%). Ini belum lagi mengambil kira jumlah kes-kes kecacatan.

Walaupun kebanyakan mangsa demam campak akan sembuh namun kita tidak dapat menjangka siapa yang akan menjadi mangsa kesan sampingan yang serius.

Berbeza dengan jangkitan-jangkitan yang lain, campak adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan kadar pembiakan virus yang sangat cepat. Kejayaan program imunisasi bergantung kepada berapa peratus sasaran yang menerima vaksin dan peratusan ini dinamakan liputan. Katakan sasaran kita adalah 1000 orang, maka 90% liputan bermaksud 900 orang telah diberi vaksin.

Liputan yang hendak dicapai bergantung kepada jenis penyakit. Penyakit yang sangat mudah berjangkit memerlukan liputan yang lebih tinggi. Jika liputan itu tidak dicapai, maka program imunusasi itu akan gagal dan wabak penyakit akan berlaku. Lagi cepat virus itu berjangkit, lagi tinggi liputan vaksin yang diperlukan.


Garis sempadan liputan ini dinamakan "Herd Immunity Treshold" (HIT). Jika liputan kurang daripada HIT, maka wabak penyakit boleh berlaku. Jika liputan melebihi HIT, masyarakat itu akan terlindung daripada wabak dan masyarakat ini dikatakan sudah mencapai "Herd Immunity". Matlamat utama program imunisasi adalah utk mencapai "Herd Immunity". Herd immunity bolehlah dikiaskan dengan satu payung yang besar melindungi orang ramai daripada dibasahi air hujan.

Virus campak adalah di antara yang paling mudah berjangkit dan kadar pembiakan yang paling tinggi. Maka HIT untuk mencegah wabak demam campak juga adalah tinggi iaitu 95%. Maksudnya daripada 1000 orang sasaran, kita perlu pastikan sekurang2nya 950 orang telah diberi vaksin. Jika liputan kurang daripada 95%, wabak penyakit boleh berlaku. Lima peratus(5%) yang tidak menerima vaksin itu terdiri dari (1) anak yang belum cukup umur, (2) anak2 yg mempunyai alasan kesihatan utk tidak boleh menerima vaksin, (3) anak yang terlepas vaksin dan (4) anak2 kepada ibubapa yg antivaksin.

Apabila golongan antivaksin meningkat, maka ia akan meningkatkan peratusan yang tidak menerima vaksin, contohnya daripada 5% kepada 10%. Dalam keadaan ini liputan vaksin akan menurun kepada 90% dan ini adalah di bawah paras HIT. Akibatnya wabak penyakit boleh berlaku dan keseluruhan masyarakat akan terancam. Ancaman paling besar adalah ke atas 10% yg tidak menerima vaksin termasuk anak-anak antivaksin sendiri. Jadi antivaksin telah memangsakan anak-anak mereka sendiri dan anak-anak lain yang tidak layak menerima vaksin. Anak-anak yang menerima vaksin akan terlindung dan jikapun dijangkiti akan mengalami jangkitan yang jauh lebih ringan.

Kesimpulannya demam campak boleh menjadi satu penyakit berjangkit yang sangat merbahaya kerana sangat mudah berjangkit dan kita memerlukan liputan vaksin yang tinggi untuk mencapai "Herd Immunity". Gerakan antivaksin jika tidak dikawal akan menurunkan liputan sehingga menyebabkan berlakunya wabak demam campak dan lain-lain penyakit berjangkit yang dicegah dengan vaksin. Jika anak-anak ini tidak bernasib baik, mereka akan mengalami kecacatan kekal dan kematian.