t>

Breaking News

ADUN Warisan Bayarkan Saman 8 Orang Miskin Sabah Yang Dikompaun RM1,000.

SEMASA | Pada 27 Januari lalu, lapan penduduk termasuk warga emas dari beberapa kampung ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Tenom untuk dikeluarkan kompaun kerana bas dinaiki mereka melebihi kapasiti 50% penumpang seperti ditetapkan.

Perkara itu seterusnya menjadi perdebatan awam apabila beberapa media tempatan Sabah melaporkan kejadian tersebut. Pihak yang dikompaun juga telah ditemui oleh petugas media bagi meluahkan kesedihan mereka kerana dikenakan kompaun. 

Kesemua mereka disaman RM1,000 semasa keluar membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan di pekan Tenom. 

Saya beli barang keperluan bukannya keluar jalan-jalan.

Seorang penduduk Irip Pang berkata, tujuan dia mengikuti perjalanan itu untuk membeli barang keperluan cucunya yang masih kecil dan berstatus orang kurang upaya (OKU).

“Bukan saya turun untuk jalan-jalan, saya mahu membeli (barang keperluan) untuk cucu saya, susu dengan lampin pakai buang, tiada yang menjaga dia (cucu) sebab ibu dia sudah meninggal dunia, suami saya pun sudah terlalu berusia dan tidak mampu keluar.

Seorang lagi penduduk Buriat Alipan berkata, dia terpaksa ke pekan pada hari itu kerana mahu membeli ubat kakinya yang sakit selain bekalan makanan.

“Mereka (polis) beritahu PKP, tetapi macam mana saya tidak turun (ke Pekan Tenom), saya mahu beli ubat kerana kaki saya pun sakit, sampai sekarang sakit sebab itu saya terpaksa pergi ke pekan.

“Kami orang kampung, orang susah, bukan kami sengaja melakukan kesalahan itu, bukan keluar untuk suka-suka,”
katanya. (Free Malaysia Today)

Tindakan kompaun wajar walaupun rasa simpati kata Pesuruhanjaya Polis Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali mempertahankan tindakan pihaknya mengenakan kompaun RM1,000 terhadap lapan penduduk pedalaman negeri ini yang keluar membeli barang keperluan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa. 

Hazani bersimpati dengan penduduk terbabit, namun menegaskan ia dibuat demi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pemandu ‘kereta sapu’ ini cuba mengaut untung lebih dengan membawa lebih 50% daripada kapasiti penumpang yang dibenarkan.

“Kompaun diberikan kepada pemandu terbabit, begitu juga dengan penumpangnya kerana mereka juga didapati melanggar SOP.

“Saya sangat bersimpati kepada penduduk kampung ini, mereka tidak tahu sangat (berkenaan SOP) tetapi oleh kerana si pemandu kereta sapu yang mahu mengaut untung lebih, polis kena ambil tindakan,”
katanya pada sidang media di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, kejadian itu ada kaitan dengan kurangnya pemahaman penduduk kampung khususnya di pedalaman berhubung SOP serta PKP yang sedang berkuatkuasa.

“Pemimpin komuniti seperti ketua kampung, JKKK (jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung) dan lain-lain perlu memainkan peranan untuk memperluaskan serta meningkatkan kesedaran penduduk kampung,” katanya.

Provokasi ke atas polis

Dalam pada itu, Hazani turut berpendapat kejadian berkenaan yang ditularkan adalah satu bentuk provokasi terhadap pasukan keselamatan yang selama ini banyak menggunakan budi bicara dalam menguatkuasakan PKP.

“Jika polis melaksanakan sepenuhnya SOP PKP yang dikuatkuasakan selama ini, maka lebih banyak kompaun akan dikenakan.

“Sehubungan itu, polis kontinjen Sabah menasihatkan orang awam terutama rakyat di negeri ini agar patuh SOP yang dikuatkuasakan dalam usaha melandaikan pandemik Covid-19 ini,”
katanya.

Pemandu bas cadang saman beliau seorang namun.. 

Kalau diperhatikan laporan dari FMT menyatakan pemandu bas, Ruil Taligi ada berkata beliau merayu kepada pihak polis agar memberikan amaran atau jika nak saman, maka saman dirinya seorang tetapi..

👇👇👇

Katanya, bagaimanapun dia kasihan dengan penduduk kerana ada dalam kalangan mereka yang benar-benar perlu ke pekan untuk membeli barang keperluan.

“Polis memberitahu saya yang telah lebih muatan (penumpang bas), saya sudah beritahu mereka (penumpang) tetapi mereka mahu ikut juga dan saya kasihan kerana mereka bukan selalu dapat keluar untuk membeli barang keperluan.

“Saya merayu kepada polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya itu, kalau boleh beri amaran dulu atau saman saya seorang saja, bukannya mereka (penumpang) kerana mereka golongan susah yang hanya mahu keluar membeli barang keperluan, bagaimanapun anggota itu tetap mengarahkan kami pergi ke IPD (Tenom),”
katanya. (Free Malaysia Today)

Maknanya pemandu bas nak ambil tanggungjawab..

Tetapi kompaun tetap dikeluarkan ke atas penduduk yang miskin juga. Perbincangan tak berjaya diselesaikan dengan cara menang-menang. Ini bukan soal pematuhan kepada SOP semata-semata. Ini soal dimana logiknya apabila pemandu bas bersedia mengambil tanggungjawab atas kesalahan yang beliau lakukan, saman tetap diteruskan ke atas orang miskin yang terdesak penuhi keperluan hidup?

Sudahlah pemandu bas dituduh sebagai tamak. Zaman PKP ni, orang miskin bergelut cari rezeki penuhi keperluan hidup, kini dikatakan tamak ambil untung berlebihan pula? 

Reaksi netizens..




Ada pihak mahu bantu bayarkan kompaun

Ada pihak ingin membantu kesemua mangsa membayar kompaun.
Kita sedang mencari sesiapa yang kenal dengan mana-mana mangsa atau tinggal di daerah Tenom. Mohon bantuan untuk cari orang kampung yang terlibat.

Orang politik sesuka hati langgar PKP tiada kena kompaun. Orang kampung di pedalaman yang keluar atas sebab munasabah pula yang kena. 


Sedangkan terkadang informasi ndak sampai kepada mereka di pedalaman. Mereka pula keluar bukan suka-suka melainkan untuk memenuhi keperluan harian.

Bersatu rakyat seluruhnya, undang-undang semakin tidak memihak kepada masyarakat kelas bawah

Rakyat jaga rakyat!
Mohon bantuan untuk kita dapat berhubung dengan mangsa.

Semoga dipermudahkan. (Mukmin Natang)

Datuk Peter Anthony sudah bayarkan kompaun..



Tular di media sosial mengenai kejadian lapan orang penduduk Kg. Angalor, Tenom telah dikompaun 1 ribu ringgit seorang pada 27 Januari 2020 yang lepas. Sepertimana penjelasan daripada penduduk yang terlibat, kompaun 1 ribu ringgit tersebut berpunca akibat melanggar SOP. Saya difahamkan mereka terdiri daripada warga emas dan OKU yang terpaksa turun ke Pekan Tenom untuk membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Atas nilai kemanusiaan, saya rasa terpanggil untuk membantu mereka untuk membayar kompaun tersebut kerana saya memahami situasi dan keadaan penduduk kampung yang tinggal jauh dari kawasan pekan malah ada di antara mereka yang tidak mempunyai akses internet dan tv untuk mengikuti perkembangan semasa terutamanya yang berkaitan dengan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Hari ini saya sempat pergi ke Bank dan terus bergegas ke Hospital Tenom untuk membantu melangsaikan kompaun tersebut. Saya sempat menasihati mereka agar sentiasa mematuhi SOP pada masa akan datang. Semoga pertolongan kecil ini akan meringankan beban penduduk yang terlibat.

Apa pun syukur pada yang maha Esa semuanya sudah selesai dan saya sempat membungkuskan makanan kepada mereka sebelum mereka pulang. 

Semoga kejadian ini akan memberi iktibar kepada kita semua agar sentiasa mematuhi SOP & saling mengambil berat antara satu sama lain. Bersama-samalah kita melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 agar kehidupan kita pulih seperti sediakala. - 2 Februari 2021.